Subsidi lebih cekap, kawal ketirisan jadi keutamaan kerajaan

Subsidi lebih cekap, kawal ketirisan jadi keutamaan kerajaan

AKMAL NASRULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Empat keutamaan diberi penekanan dalam pengurusan krisis bekalan global bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara ketika ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, fokus utama kerajaan adalah menjamin bekalan makanan, tenaga, ubat-ubatan dan barangan keperluan supaya rakyat tidak terkesan dengan gangguan rantaian bekalan global.

Katanya, kerajaan juga memberi penekanan terhadap usaha mengoptimumkan bekalan sedia ada melalui pengurusan subsidi lebih cekap, kawalan ketirisan dan penguatkuasaan berterusan.

“Kerajaan turut memberi perhatian kepada usaha mengekang kenaikan harga supaya tekanan kos tidak dipindahkan sepenuhnya kepada rakyat, selain memanfaatkan peluang baharu termasuk dalam biodiesel, bahan api lestari dan sumber alternatif.

“Pendekatan kerajaan dalam menangani krisis semasa bukan bersifat reaktif semata-mata, sebaliknya dilaksanakan secara berterusan menerusi pemantauan mingguan, penyelarasan merentas kementerian dan semakan status tindakan,” katanya dalam Taklimat Krisis Bekalan Global hari ini.

Akmal Nasrullah berkata, setakat 12 Mei lalu, sebanyak 24 kertas pembentangan merentasi 13 sektor ekonomi telah dibincangkan dengan 96 keputusan diminitkan.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut, 11 keputusan telah selesai manakala 78 lagi masih dalam pelaksanaan bagi memastikan setiap keputusan diterjemahkan kepada tindakan segera dan berkesan.

“Kerajaan akan terus memperkukuh libat urus bersama industri, persatuan perniagaan, kementerian, agensi penguatkuasaan dan pihak berkepentingan lain sebelum sebarang keputusan dasar dimuktamadkan.

“Walaupun kerajaan tidak dapat mengawal sepenuhnya harga minyak dunia dan konflik geopolitik global, kesiapsiagaan negara, ketepatan dasar serta keberkesanan pelaksanaan akan terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat dan daya tahan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN