KUALA LUMPUR: Penganjur konsert Malam Jiwa Kacau, MND Sport & Event Sdn Bhd, menafikan pengawal keselamatan yang bertugas sepanjang konsert tersebut sengaja mengganggu dan memukul pengunjung.
Menurut ketua pegawai eksekutif MND Sport & Event Sdn Bhd, Muhammad Harith Daniel Sakdon, pengawal keselamatan berkenaan hanya menjalankan tugas memandangkan terdapat laporan penonton wanita dilanggar dan dipijak.
“Kami mendapat aduan daripada beberapa penonton wanita, mereka meminta tolong kerana dilanggar dan dipijak.
“Maka, pihak pengawal keselamatan bergegas membantu mangsa serta meleraikan suasana. Mereka hanya menjalankan tugas.
“Namun begitu, kami memohon maaf atas sebarang kesulitan semasa konsert ini berlangsung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia melalui aplikasi Whatsapp.
Dakwaan itu timbul apabila tular sebuah video memaparkan penjaga keamanan mencengkam leher salah seorang pengunjung semasa melakukan aksi ‘moshpit’ sekali gus mencetuskan pertelingkahan ketika konsert berlangsung pada Sabtu lepas.
Bukan itu sahaja, Muhammad Harith turut menafikan dakwaan kononnya pengawal keselamatan yang bertugas semasa konsert berkenaan tidak mempunyai pengalaman mengawal konsert rock.
“Itu tidak benar. Pengawal keselamatan yang bertugas diketuai oleh individu yang sudah lama terlibat dalam urusan security event di malaysia.
“Mereka banyak terlibat mengawal acara-acara tempatan mahupun antarabangsa,” jelasnya.
Terdahulu di laman sosial, pengunjung konsert Malam Jiwa Kacau meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan pengawal keselamatan yang mencengkam leher pengunjung dan menghalang mereka daripada melakukan aksi ‘moshpit’ semasa persembahan kumpulan Bunkface.
Konsert Malam Jiwa Kacau mengumpulkan empat kugiran terkenal tanah air iaitu Hujan, Bunkface, Insomniacks dan Masdo.