Penduduk Pulau Tuba masih tunggu klinik, ambulans laut

Penduduk Pulau Tuba masih tunggu klinik, ambulans laut

BOT tambang yang bertutup ini digunakan penduduk Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting untuk berulang-alik ke Langkawi dengan kadar kekerapan kira-kira dua jam sekali di Jeti Pelancongan Pekan Rabu, Langkawi. - UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Penduduk Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting di sini, masih menunggu pembinaan klinik kesihatan dan ambulans laut seperti yang pernah diumumkan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Tinjauan Utusan Malaysia di Jeti Pelancongan Pekan Rabu mendapati, penduduk menghadapi kesukaran untuk berulang-alik mendapatkan rawatan terutamanya pada waktu bot penambang tidak beroperasi.

Seorang pekerja perkhidmatan bot tambang, Shafizal Akmar Shahidan, 31, berkata, ada pesakit yang memerlukan rawatan susulan terpaksa berulang-alik ke Klinik Kesihatan Kuah setiap hari kerana Pulau Tuba hanya memiliki klinik desa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ada seorang makcik kudung sebelah kakinya yang menghidap kencing manis terpaksa berulang-alik ke klinik Kuah untuk mencuci luka sahaja, kerana klinik desa di Pulau Tuba tidak menyediakan khidmat tersebut.

“Agak sukar untuk dia bergerak menaiki bot kerana keadaan kakinya, ditambah pula dengan faktor cuaca yang tidak menentu boleh menyebabkannya terjatuh semasa keluar masuk bot,” katanya.

Bagi penduduk Kampung Selat Bagan Nyiur di Pulau Dayang Bunting, Abu Bakar Mohd. Jedi, 51, dia pernah membayar RM200 untuk tambang bot bagi membawa orang tuanya yang sakit pada waktu tengah malam tahun lalu.

“Apabila sampai di jeti di Pekan Rabu pula kami terpaksa mencari kenderaan untuk pergi ke hospital. Bayangkan kecemasan berlaku pada pukul 3, 4 pagi, siapa saja yang ada untuk bantu kami ke hospital,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Meto, 49, berkata, klinik kesihatan dan ambulans laut perlu ditempatkan di Pulau Tuba untuk memudahkan penduduk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Kalau dulu ada ambulans laut, tetapi tidak tahu kenapa perkhidmatan tersebut dihentikan. Kalau tiada ambulans laut pun tidak mengapa, asalkan ada bot cukuplah untuk kami gunakan ketika kecemasan.

“Bot Jabatan Kesihatan sedia ada biasanya diletakkan di Jeti Dato’ Syed Omar di Kuah, dan selalunya akan mengambil masa untuk bot itu sampai di sini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini