Pemuda Orang Asli pekak kerah keringat, gigih sara ibu

Pemuda Orang Asli pekak kerah keringat, gigih sara ibu

HASSAN Salleh (kiri) gigih menyara dan menjaga ibunya Khadijah Karim di rumah mereka di Kampung Pasir Linggi, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang pemuda Orang Asli Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat pendengaran gigih mengerah keringat untuk menyara ibunya di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, di sini.

Hassan Salleh, 39, yang pekak telinga kanan tekun melaksanakan tanggungjawab mencari pendapatan dengan mengambil upah menoreh getah dan mencari hasil hutan.

Ibunya, Khadijah Karim, 56, berkata, setiap hari seawal waktu pagi anak sulungnya itu akan keluar mencari rezeki dengan mengambil upah menoreh getah serta menjual hasil hutan.

Katanya, walaupun mengalami masalah pendengaran dan tidak dapat bercakap dengan jelas, Hassan tetap rajin bekerja.

“Setiap minggu Hassan akan memperoleh upah kira-kira RM100 dan duit itu digunakan untuk menyara keluarga selepas kematian ayahnya beberapa tahun lalu.

“Masalah pendengaran dan percakapan yang dihadapinya bukan penghalang untuk dia malas bekerja dan hanya duduk di rumah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, di sini semalam.

Cerita Khadijah, Hassan disahkan mengalami cacat pendengaran ketika berusia tujuh tahun apabila telinga kanannya dimasuki sengkenit atau kutu babi.

Katanya, selepas beberapa hari mengalami kesakitan kutu babi itu tidak berjaya dikeluarkan.

“Hassan terpaksa dibawa ke hospital di Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

“Namun, sehingga kini telinganya tidak dapat mendengar dan dia menerima kad OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga Hassan boleh menghubungi Penghulu Kampung Pasir Linggi, Harun Ismail, 017-9407537. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya