PRN Johor: Dakwaan PKR tanding solo menyeleweng, tiada keputusan dimuktamadkan

PRN Johor: Dakwaan PKR tanding solo menyeleweng, tiada keputusan dimuktamadkan

FUZIAH Salleh (dua dari kanan) memeriksa barangan yang dijual semasa Program Jualan Rahmah Madani di Dewan Serbaguna PPR di Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tiada sebarang perbincangan atau keputusan dibuat berhubung dakwaan PKR bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) Johor.

Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata, laporan yang tular itu disifatkan sebagai menyeleweng dan tidak mencerminkan realiti sebenar pendirian parti berkenaan.

“Tiada perbincangan atau keputusan dibuat mengenai perkara tersebut. Kenyataan itu amat menyeleweng dan lari daripada realiti sebenar,” katanya semasa diminta mengulas laporan sebuah portal yang mendakwa PKR merancang untuk bertanding solo dalam PRN Johor yang dijangka diadakan hujung tahun ini.

Terdahulu, beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) merasmikan Program Jualan Rahmah Madani di Dewan Serbaguna Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sini, hari ini.

Fuziah berkata, PKR kekal dengan pendekatan berhati-hati dan terbuka dalam merangka strategi menghadapi PRN Johor, dengan keutamaan diberikan kepada kesepakatan bersama rakan dalam Pakatan Harapan (PH).

Katanya, landskap politik Johor yang menyaksikan PH sebagai pembangkang di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) memerlukan pertimbangan strategik yang berbeza berbanding di peringkat Persekutuan.

“Sebarang keputusan akan dibuat secara kolektif bersama rakan komponen PH, selaras dengan semangat kerjasama gabungan,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa menyatakan pihaknya mengenal pasti 28 kerusi yang berpotensi ditandingi pada PRN Johor.

Menurut Ahli Parlimen Sekijang itu, kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan berpotensi untuk ditandingi dan keputusan tersebut dibincang dan dipersetujui Majlis Pimpinan Negeri (MPN).

Dalam masa sama, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan pula mengumumkan parti itu sudah mengenal pasti 20 kerusi DUN yang mahu ditandingi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN