KUALA LUMPUR: Pelakon, Ozzlyn Wati mengambil pendekatan terbuka terhadap hubungan persahabatan anak sulungnya, Ahmad Ariq, dengan seorang wanita dikenali sebagai Giya, namun tetap menekankan soal batas pergaulan dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.
Menurut Ozzlyn, Giya merupakan seorang mualaf yang baru memeluk Islam sekitar sebelum bulan Ramadan lalu dan kini masih dalam proses mendalami agama tersebut dengan bimbingan keluarga mereka.
“Kami tidak pernah menolak kehadiran dia dalam hidup anak kami. Malah, kami menyantuni dia dengan baik kerana dia baru memeluk Islam. Kami bawa dia berpuasa bersama, berbuka bersama, menyambut Hari Raya bersama dan turut meluangkan masa bercuti. Semua itu supaya dia dapat merasai sendiri suasana kehidupan sebagai seorang Muslim,” katanya ketika ditemu bual Utusan Malaysia di Majlis Tayangan Filem Libang Libu, di ibu negara, kelmarin.
Kongsi Ozzlyn, Giya merupakan wanita berasal dari Filipina tetapi dibesarkan di Dublin, Ireland dan dia menunjukkan minat mendalam terhadap Islam selain sering bertanya bagi memahami ajaran agama dengan lebih jelas.
“Dia memang seorang yang baik dan sangat ingin belajar. Dia sendiri cakap keputusan untuk memeluk Islam bukan kerana sesiapa, tetapi kerana dia sudah membaca Al-Quran dan merasakan itu adalah jalan yang dia perlu kembali. Dia juga banyak bertanya, termasuk kepada anak saya yang boleh menterjemah Al-Quran. Jadi, kami bantu jelaskan sebaik mungkin supaya dia benar-benar faham,” ujarnya.
Mengulas mengenai hubungan antara anaknya dan Giya, Ozzlyn menjelaskan bahawa ia masih di peringkat persahabatan dan belum sampai ke tahap yang lebih serius.
“Kami tidak pernah kata ‘ya’ atau memberi sebarang keputusan untuk masa depan mereka. Buat masa ini, mereka hanya berkawan. Bagi saya, berkawan itu tidak salah, tetapi mesti tahu menjaga batas. Itu yang saya selalu tekankan.
“Saya tidak pernah menghakimi siapa pilihan anak saya kerana masa depan dia adalah tanggungjawab dia sendiri. Saya hanya beri nasihat supaya dia pilih seseorang yang baik dan memahami agama. Tetapi kita juga tahu, kadang-kadang orang yang nampak beragama pun boleh tersasar, jadi yang penting adalah bimbingan dan usaha untuk menjadi lebih baik,” katanya.
Ozzlyn turut menasihati Ahmad Ariq agar sentiasa menjaga tingkah laku memandangkan latar belakang keluarga mereka yang dikenali umum.
“Saya selalu ingatkan dia, apa sahaja yang dia buat, orang akan lihat dan nilai. Dia bukan sahaja membawa nama dirinya, tetapi juga nama keluarga. Kalau dia buat silap, orang akan bercakap tentang ibu bapanya dahulu. Jadi, dia kena jaga diri dan tahu batas.
“Saya selalu cakap dengan dia, sebagai ibu bapa, kami sudah beri segala didikan agamaa, mengaji, memahami Al-Quran dan sebagainya. Kalau dia masih memilih jalan yang salah, itu bermakna dia sendiri yang menentukan haluan hidupnya. Kami hanya mampu membimbing,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ozzlyn juga menekankan kepentingan berkomunikasi secara berhemah, khususnya dalam membimbing individu yang baru mengenali Islam agar tidak tersinggung.
“Kita kena lembut dalam bercakap, terutama dengan orang yang baru belajar. Kita mahu dia faham, bukan rasa tertekan atau terguris. Tetapi dalam masa yang sama, kalau perlu, saya tetap akan menegur dengan tegas,” katanya.
Selain itu, Ozzlyn berharap kedua-dua mereka memberi keutamaan kepada pelajaran dan tidak terburu-buru dalam soal hubungan.
“Saya selalu pesan, fokus kepada pelajaran dahulu. Jangan kerana hubungan, masa depan terjejas. Jaga diri, jaga maruah keluarga. Itu paling penting,” katanya.










