25 pendatang Myanmar dicekup di pesisir pantai Kuala Muda

25 pendatang Myanmar dicekup di pesisir pantai Kuala Muda

SERAMAI 25 warga Myanmar ditahan oleh Maritim Malaysia Pulau Pinang dalam satu operasi di pesisir pantai Kuala Muda, Penaga, Pulau Pinang, hari ini.-IHSAN MARITIM PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Cubaan licik satu sindiket menyeludup masuk 25 warga Myanmar ke negara ini gagal apabila Maritim Malaysia Pulau Pinang berjaya menahan kesemua mereka dalam satu operasi di pesisir pantai Kuala Muda, Penaga, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.25 pagi itu, kesemua individu berusia antara 12 hingga 42 tahun itu ditahan sejurus diturunkan dari sebuah bot fiber yang dipercayai bertindak sebagai pengangkutan utama mereka memasuki negara ini secara haram.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, operasi tersebut digerakkan hasil maklumat perisikan yang diterima sekitar pukul 3.30 pagi mengenai pergerakan mencurigakan sebuah bot fiber yang memecut laju ke arah muara Kuala Muda.

Menurut beliau, sepasukan anggota Maritim yang segera digerakkan ke lokasi berjaya mengesan bot berkenaan sebelum bertindak mengejarnya.

“Bagaimanapun, bot fiber tersebut berjaya meloloskan diri selepas menurunkan kesemua 25 warga Myanmar di pesisir pantai berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka dipercayai menggunakan lori sebagai pengangkutan darat untuk bergerak ke lokasi lain, berdasarkan kehadiran sebuah lori di kawasan pesisir berkenaan.

“Kesemua mereka kemudian ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah. Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) kerana berada di Malaysia tanpa pas sah serta Seksyen 5(2) kerana memasuki negara melalui laluan tidak dibenarkan,” katanya.

Tambah beliau, kesemua warga asing itu seterusnya telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk tindakan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×