Enam wakil rakyat Pas tuntut penjelasan MB, tidak perlu takut undi tidak percaya - Utusan Malaysia

Enam wakil rakyat Pas tuntut penjelasan MB, tidak perlu takut undi tidak percaya

ENAM wakil rakyat Pas menuntut Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah memberi penjelasan berhubung penangguhan sidang DUN Perlis dalam satu sidang akhbar di Mata Ayer, Perlis hari ini.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Enam wakil rakyat Pas menuntut penjelasan daripada Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berhubung penangguhan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang dijadual berlangsung pada 21 sehingga 23 April.

Enam wakil rakyat tersebut masing-masing Mohd. Shukri Ramli (Sanglang); Muhammad Azmir Azizan (Santan); Asrul Aimran Abd Jalil (Kayang); Razali Saad (Simpang Empat); Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer) dan Haziq Asyraf Dun (Beseri).

Wakil rakyat dari Pas itu turut mengingatkan Abu Bakar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis supaya tidak takut kononnya bakal berlaku undi tidak percaya terhadap beliau di dalam sidang DUN berkenaan.

Mohd Shukri yang juga bekas Menteri Besar berkata, penangguhan itu merupakan sesuatu yang luar biasa berikutan tiada pemakluman rasmi dan alasan munasabah diberikan.

“Oleh itu, kita berharap mendapat penjelasan yang tuntas daripada Menteri Besar berhubung penangguhan tersebut. Ini kerana perkara seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini kecuali dalam keadaan tertentu seperti bencana alam, kematian tokoh penting negeri atau negara serta wabak seperti Covid-19,” katanya bersama lima wakil rakyat Pas dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Mata Ayer di sini hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, sidang DUN Perlis yang dijadual berlangsung pada 21 sehingga 23 April ditangguhkan ke suatu tarikh baharu yang akan ditetapkan kelak.

Surat pemakluman yang dikeluarkan itu bagaimanapun tidak dimaklumkan sebab atau alasan penangguhan tersebut.

Sidang DUN tersebut sepatutnya menjadi yang pertama sejak krisis politik Disember lalu yang menyaksikan Mohd. Shukri meletak jawatan sebagai Menteri Besar.

Mohd. Shukri berkata, enam ADUN Pas sebelum ini telah menerima notis pada 9 April lalu berhubung perjalanan persidangan DUN yang dijadualkan pada 21 hingga 23 April namun, pembatalan hanya diketahui pada semalam.

“Itu pun hanya melalui maklumat yang tular. Surat rasmi masih belum kami terima dan ini sesuatu yang mengejutkan. Saya sendiri telah menangguhkan penerbangan ke tanah suci yang sepatutnya pada 18 April kepada tarikh 3 Mei kerana mahu mengikuti persidangan ini. Namun tiba-tiba sidang DUN ditangguhkan dan ini sangat mengecewakan,”katanya.

Mohd. Shukri, berkata, mereka juga sudah bersedia dengan pelbagai soalan untuk diajukan kepada kerajaan negeri antaranya berkaitan pelaburan, pengurusan pemberian geran tanah kepada pemilik lesen pendudukan sementara (TOL), kelulusan telah dibuat dalam mesyuarat Exco terdahulu dan beberapa lagi.

Beliau berharap Abu Bakar dapat memberi penjelasan segera berhubung penangguhan itu selewatnya dalam minggu ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN