Pembangkang mungkin tiada peluang bahas usul persendirian

Pembangkang mungkin tiada peluang bahas usul persendirian

Datuk Johari Abdul
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembangkang mungkin tidak berpeluang meneruskan usul persendiriannya kerana dijangka lebih banyak Rang Undang-Undang (RUU) serta laporan kerajaan akan dibahas dalam persidangan Dewan Rakyat, Selasa ini.

Semasa persidangan terakhir Dewan Rakyat 25 Mei lalu, beberapa ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati dengan perjalanan aturan mesyuarat dan usul-usul, kerana persidangan itu berakhir dengan hanya dua RUU sebelum Dewan Rakyat menangguhkan mesyuarat.

Pembangkang ketika itu mempersoal jika Dewan Rakyat tidak lagi mempunyai urusan kerajaan yang perlu dibentang dan mereka berpandangan, ada peluang untuk membahaskan usul persendirian bermula dengan cadangan Ahli Parlimen Arau daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Shahidan Kassim.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, pembangkang telah khilaf memahami urusan mesyuarat kerana meskipun hanya ada dua RUU dibentang ketika itu, mengikut rancangan ia sepatutnya berjalan dengan perbahasan beberapa laporan antaranya daripada Ketua Audit Negara dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Jelasnya, ia tidak semestinya menjurus kepada perbahasan usul persendirian kerana meskipun RUU terdahulu telah diluluskan, ahli Parlimen masih tertakluk kepada Perintah Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang menetapkan urusan kerajaan menjadi keutamaan.

“Mereka silap pemahaman. Sebelum ini, tidak banyak laporan dibentang dan dibahas di Parlimen termasuk laporan Suhakam yang sepatutnya dibahas, tetapi tidak sempat diedar laporannya.

“Namun, kali ini saya mahu pastikan setiap kali mesyuarat kedua kita masukkan juga laporan ini. Laporan ada tetapi tidak pernah dibahas. Ia hanya dicetak dan diletak atas meja. Siapa baca laporan pun tidak tahu.

“Orang awam pun tidak tahu apa yang berlaku dalam Suhakam. Begitu juga laporan Ketua Audit Negara. Jadi, sebab itu arahan saya ialah letak sahaja satu hari ada satu atau dua rang undang-undang sebab mahu beri ruang dan masa untuk ahli Parlimen bincang laporan yang disedia oleh pegawai,” katanya ketika dihubungi semalam.

Semakan Utusan Malaysia menerusi aturan mesyuarat, hanya ada satu RUU berbentuk pindaan akan dikemukakan iaitu RUU Undang-Undang Suruhanjaya Koperasi Malaysia (Pindaan) 2023 kemudian disusuli dengan perbahasan Laporan Ketua Audit Negara.

Dalam pada itu, Johari berkata, pembangkang boleh memasukkan usul atau cadangan dalam senarai aturan mesyuarat namun ia bergantung kepada tempoh masa usul kerajaan dapat diselesaikan.

“Pembangkang boleh memasukkannya sebagai RUU atau sebagai usul Dewan Rakyat, tetapi, usulnya masih tinggal usul sahaja jika urusan kerajaan didahulukan,” katanya.

Jelasnya, beliau tidak mengendalikan persidangan terakhir Dewan Rakyat ketika itu kerana perlu hadir ke Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ‘23).

“Tetapi, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Nor melakukan kerja dengan baik. Dalam mesyuarat bermula 6 Jun ini sehingga 15 Mei, akan banyak RUU baharu atau pindaan akan dimasukkan. Namun, laporan itu juga akan diberi tumpuan,” katanya.

Usul persendirian atau RUU persendirian amat jarang berlaku atau hampir tidak pernah didengar di Dewan Rakyat kerana Perintah Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat menetapkan urusan kerajaan mesti didahulukan.

Ini bermakna, kerajaan boleh melangkau terlebih dahulu daripada sebarang usul atau RUU persendirian yang dikemukakan oleh ahli Parlimen yang sudah berada dalam senarai menunggu.

Kali terakhir usul persendirian didengar ialah pada 2016, apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu bertindak menggantung urusannya di Dewan Rakyat, bagi membenarkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang membaca RUU persendiriannya untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355.

Pada 25 Mei lalu, kerajaan hanya mempunyai dua rang undang-undang dengan satu pindaan pendek dalam senarai urusannya iaitu untuk RUU Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023 dan RUU Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN