HPRZ II bakal miliki makmal patologi RM175j

HPRZ II bakal miliki makmal patologi RM175j

Dr. Mohd. Azman Yacob menerima buku 50 Tahun Jubli Emas daripada Dr. Cheong Soon Keng (kiri) selepas merasmikan Persidangan Saintifik Tahunan ke 21 di Kota Bharu. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bakal memiliki makmal patologi baharu bernilai RM175 juta yang dilengkapi peralatan dan mesin berteknologi moden apabila pembinaannya dijadual bermula tahun depan.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. Mohd. Azman Yacob berkata, projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) itu dijangka ambil masa empat hingga lima tahun untuk disiapkan.

Katanya, pembinaan makmal baharu itu meningkatkan keupayaan perkhidmatan diagnostik dan memberi manfaat kepada rakyat Kelantan.

“Pembinaan baharu dilengkapi peralatan mesin yang lebih moden untuk dimanfaatkan kepada rakyat negeri ini.

“Bagaimanapun, orang ramai masih boleh menjalani pemeriksaan di makmal patologi di hospital sedia ada,” katanya selepas merasmikan Persidangan Saintifik Tahunan Ke-21 anjuran Kolej Patologi, Akademi Perubatan Malaysia di sebuah hotel di sini, semalam.

Persidangan itu menghimpunkan 462 peserta dalam negara dan luar negara dengan menampilkan 38 syarahan pakar, termasuk K. Pratap Memorial Lecture yang disampaikan oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Cheong Soon Keng.

Dr. Mohd. Azman berkata, pembinaan makmal patologi baharu itu adalah satu keperluan utama bagi menyokong rawatan pesakit.

Katanya, bangunan berkenaan turut dilengkapi wad kelas pertama yang mempunyai 40 katil dan 125 lot parkir.

“Sebelum ini bangunan makmal patologi baharu sudah ada di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai, hospital di Johor dan lain-lain,” ujarnya.

Dr. Azman berkata, ketika ini ada 151 makmal patologi di hospital di bawah Kementerian Kesihatan manakala sebanyak 825 makmal beroperasi di klinik kesihatan setakat Jun tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN