Pas tiada masalah beri Annuar Musa kerusi

Pas tiada masalah beri Annuar Musa kerusi

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pas tidak ada masalah untuk memberi kerusi kepada Tan Sri Annuar Musa yang menyertai parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan tidak lama lagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, bagaimanapun keputusan itu akan ditentukan Perhubungan Pas Kelantan sebelum dibawa ke peringkat pusat bagi menentukan calon yang akan bertanding dalam PRN berkenaan.

Katanya, Annuar juga salah seorang bekas pemimpin UMNO yang cukup berpengaruh dan diyakini mampu menambah kekuatan dan membantu Perikatan Nasional (PN) memperoleh kemenangan lebih besar.

“Saya yakin tidak ada masalah bagi Pas. Kita tidak tamak kuasa yang mana boleh memberi kebaikan kepada Islam, kita beri keutamaan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam..

Annuar yang juga Presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muafakat Nasional (MN) sah menyertai Pas dengan perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyudin Hassan pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan di Senawang, kelmarin.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu juga dilaporkan berkata, beliau tidak kisah tidak bertanding asalkan UMNO tidak menang.

Kata Annuar, jika diberikan mandat untuk bertanding, beliau perlu berbincang dengan pucuk pimpinan Pas bagi mengetahui tujuan beliau diamanahkan berbuat demikian.

Ujar bekas Setiausaha Agung UMNO itu, beliau seharusnya dijadikan pilihan terakhir sebagai calon Pas dan menyerahkan segala urusan penentuan calon kepada pucuk pimpinan parti selain memaklumkan penyertaannya di dalam parti itu bukan sebagai calon semata-mata sebaliknya ikhlas untuk berjuang demi kepentingan agama dan bangsa Melayu.

Sementara itu, Hashim berkata, tindakan UMNO memecat atau menggantung para pemimpin utama mereka seolah-olah meruntuhkan ‘rumah’ sendiri.

Katanya, Pas dan PN sentiasa terbuka menerima pemimpin-pemimpin tersebut yang bakal membantu memberi kekuatan kepada gabungan tersebut selain mengukuhkan perpaduan ummah yang diperjuangkan parti itu.

Dalam pada itu, Hashim berkata, PN yakin mampu menguasai enam negeri dalam PRN akan datang termasuk dengan sokongan bekas-bekas pemimpin-pemimpin UMNO ini.

“Meskipun agenda perpaduan ummah yang dilancarkan beberapa tahun lepas ada sedikit halangan masalah (Muafakat Nasional) namun agenda tersebut masih kukuh dan tidak runtuh melalui kerjasama dengan PN ketika ini.

“Malah, ia lebih menunjukkan pertambahan sokongan bagi mencapai agenda perpaduan ummah ini terutama dalam kalangan masyarakat Melayu Islam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN