PARLIMEN: Pendakwaan individu dalam projek LCS memang berlaku 

PARLIMEN: Pendakwaan individu dalam projek LCS memang berlaku 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menafikan tiada pendakwaan dilakukan terhadap individu terlibat dalam ketirisan projek mega kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang gagal disiapkan sebelum ini. 

Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, siasatan telah dibuat oleh pihak berkuasa dan kementeriannya terbuka memberi kerjasama bagi melancarkan proses siasatan sekali gus individu berkenaan didakwa di mahkamah. 

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan perincian individu yang sudah disiasat atau akan disiasat. 

“Langsung tiada pendakwaan itu tidak benar. Pendakwaan berlaku cuma yang kementerian tidak puas hati kerana telah membelanjakan banyak untuk LCS tetapi hasilnya belum dilihat.

“Bagi kita, di samping memberi keutamaan kepada siasatan ini, teras utama adalah memastikan keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diberi keutamaan dan paling penting, kedaulatan negara menjadi keutamaan,” katanya semasa sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

ADLY ZAHARI

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Lim Lip Eng [PH-Kepong] mengapa sehingga kini tiada seorang pun yang ditangkap dan didakwa di mahkamah berhubung projek itu. 

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini mendedahkan, tiada satu pun LCS Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disiapkan meskipun kerajaan membayar RM6.083 bilion untuk projek itu menerusi kontrak kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) secara rundingan terus.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan sudah mengemukakan kertas siasatan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian projek pembinaan LCS kepada Jabatan Peguam Negara (AGC)

Pada Ogos tahun lalu, media melaporkan, bekas Panglima TLDM, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd. Nor didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan pecah amanah membabitkan dana syarikat lebih RM21 juta berkaitan LCS pada 2010 dan 2011. 

Ahmad Ramli, 78, yang juga bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan itu selepas dibaca oleh jurubahasa di hadapan Hakim Suzana Hussain.

Dalam pada itu, menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz [PN-Tanah Merah] berhubung garis masa LCS disiapkan dan jika perjanjian baharu dimeterai adalah yang terakhir, Adly berkata, kapal LCS pertama dijangka ditauliah bagi kegunaan TLDM pada akhir tahun 2026 selepas melalui ujian penilaian di pelabuhan dan ujian penilaian di laut.

Katanya, ia mengambil masa kerana kos pembinaan kapal dinaikkan akibat pertambahan masa 83 bulan dan perubahan spesifikasi mengikut kepada keperluan TLDM.

“Berdasarkan perancangan perbatuan yang terkandung dalam perjanjian tambahan ini, kapal LCS pertama akan siap pembinaan pada bulan November 2024 sebelum melalui beberapa penilaian iaitu ujian penilaian di pelabuhan dan ujian penilaian di laut oleh TLDM.

“Selepas itu, insya-Allah LCS pertama dijangka ditauliahkan bagi kegunaan TLDM pada akhir 2026,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya