PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sedia mengadakan rundingan dengan Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang dipimpin Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden Muda, Amira Aisya Abd. Aziz berkata, partinya sentiasa terbuka untuk berunding dengan mana-mana blok pembangkang, khususnya yang berpegang kepada prinsip progresif, demi mengelakkan pertembungan kerusi.
“Pintu kami sentiasa terbuka untuk Bersama. Sekiranya mereka ingin berbincang, mereka hanya perlu hubungi kami,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Muda, hari ini.
Amira Aisya berkata, Muda sebelum ini sudah memulakan perbincangan awal dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi menghadapi PRN Johor.
Katanya, Muda turut mengekalkan hubungan baik serta kerjasama dasar yang kukuh dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang terbina sejak 2023.
“Pengumuman rasmi mengenai jumlah dan lokasi kerusi yang bakal ditandingi hanya akan dibuat oleh Pengarah Pilihan Raya Johor, Rasid Abu Bakar selepas rundingan muktamad selesai,” katanya.
Terdahulu, Rafizi dan Nik Nazmi dilaporkan berkata, Bersama akan mengenal pasti kerusi yang akan ditandingi pada PRN Johor menerusi perbincangan dengan wakil-wakil negeri mereka.
Menurut mereka, PRN Johor merupakan peluang kepada Bersama untuk memperkenalkan parti itu kepada pengundi di negeri berkenaan selepas dilancarkan pada 17 Mei lalu.
Semalam, Presiden Bersama, Syukri Razab menolak cadangan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk mengadakan rundingan kerusi bagi mengelakkan pertembungan.
Katanya, Bersama menghormati hasrat mana-mana pihak yang ingin memulakan rundingan, namun kekal dengan pendirian untuk menyertai PRN secara solo. – UTUSAN










