Parlimen: Nyawa rakyat jadi pertimbangan walaupun perjanjian berat sebelah - Utusan Malaysia

Parlimen: Nyawa rakyat jadi pertimbangan walaupun perjanjian berat sebelah

LUKANISMAN AWANG SAUNI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ancaman nyawa rakyat Malaysia menjadi keutamaan kerajaan meskipun dilihat perjanjian perolehan vaksin dilihat berat sebelah.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, perkara itu menjadi pertimbangan dengan memperlihatkan isu hidup mati manusia yang diancam wabak Covid-19 ketika itu.

Berikutan itu katanya, kerajaan membuat keputusan dengan meneruskan langkah melindungi rakyat Malaysia daripada terus terjejas dengan wabak berkenaan.

“Kerajaan membuat keputusan dasar untuk memeterai perjanjian perolehan vaksin ini untuk menyegerakan proses tersebut kerana setiap nyawa rakyat Malaysia adalah berharga.

“Walaupun menyedari – atas nasihat Jabatan Peguam Negara – yang perjanjian tersebut tidak memihak kepada kerajaan, kerajaan (tetap) perlu membuat keputusan dasar bagi meneruskan pembelian yang mendesak atas faktor kepentingan awam,” katanya pada sesi penggulungan Kertas Putih mengenai pemerolehan vaksin Covid-19 di Dewan Rakyat hari ini.

Malah, Lukanisman turut menjelaskan yang kerajaan tidak dapat memperincikan mengenai perjanjian tersebut kerana terikat dengan perjanjian berkaitan.

“Jika Malaysia tidak menandatangani dokumen ini, sebarang rundingan awal seperti syarat perjanjian atau bahan aktif (dalam vaksin) tidak akan dikongsi dengan Kerajaan Malaysia.

“Proses perolehan vaksin yang melibatkan Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara adalah sesuatu yang tidak boleh dijangka, tetapi perlu dilakukan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan beberapa ahli Parlimen berkenaan Non Disclosure Agreement (NDA) di mana Kerajaan Malaysia terikat dengan klausa kerahsiaan yang ditetapkan syarikat pengeluar vaksin.

“Oleh itu, beberapa maklumat terperinci setiap perjanjian termasuk harga vaksin tidak boleh didedahkan kepada umum. Walau bagaimanapun, kos perolehan bagi setiap jenis vaksin telah dijelaskan dalam prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Mesyuarat Khas Parlimen Keempat Belas yang diadakan pada 2 Ogos 2021,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri itu turut memaklumkan sehingga 30 Mei lalu, seramai 27,550,124 (84.4 peratus) rakyat Malaysia telah menerima dos primer lengkap manakala 16,335,715 (50.0 peratus) penduduk telah menerima dos penggalak pertama dan 823,495 (2.5 peratus) populasi telah menerima dos penggalak kedua.

Berbanding dengan beberapa negara lain, Malaysia kini hampir setara dengan pencapaian di negara Singapura (87.5 peratus) dan Filipina (87.5 peratus).

“Pencapaian Malaysia ini jauh lebih baik daripada negara-negara yang bermula program vaksinasi lebih awal seperti Israel (73.8 peratus), Amerika Syarikat (68.8 peratus), United Kingdom (74.6 peratus) dan Thailand (77.6 peratus),” jelasnya.

Berhubung Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI), Lukanisman berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah menerima sejumlah 26,717 laporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) vaksin Covid-19 melalui Sistem Pelaporan NPRA.

“Daripada jumlah itu, hanya sebilangan kecil iaitu 1,868 laporan bersamaan tujuh peratus adalah melibatkan kesan advers yang diklasifikasikan sebagai serius manakala majoriti iaitu 93 peratus laporan lagi adalah melibatkan kesan advers yang ringan sahaja,” katanya.

Dalam masa yang sama, kerajaan telah membuat tawaran vaksin Covid-19 kepada negara-negara luar.

Jelas Lukanisman, sejumlah 1,892,000 dos vaksin pelbagai jenama telah disumbangkan kepada negara seperti Bangladesh, Myanmar, Laos dan Bosnia Herzegovina. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN