PASIR SALAK: ‘Saya hanya mampu laung azan. Hanya itu ikhtiar yang mampu saya lakukan kerana ribut terlalu kuat’.
Itu detik cemas dilalui mangsa kejadian ribut di Daerah Hilir Perak petang kelmarin yang menyebabkan sekurang-kurangnya 34 rumah terjejas dan pokok tumbang.
Sa’odah Mohamed Ishak, 59, berkata, kejadian kira-kira pukul 5 petang selama hampir lima minit itu menerbangkan atap bahagian depan dan dapur rumahnya.
Menurutnya, semasa kejadian dia, suami dan anak berada di rumah dan mereka tiba-tiba terdengar bunyi angin yang sangat kuat disertai hujan lebat.
“Kami berasa sangat takut. Saya melaungkan azan sebanyak dua kali sebagai ikhtiar untuk meredakan keadaan. Kami tidak mampu berbuat apa-apa kerana angin terlalu kuat.
“Angin dan air hujan bukan sahaja di luar tapi masuk hingga ke dalam rumah, banyak barang rosak dan ada yang diterbangkan angin.
“Namun, kami bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat walaupun banyak barang rosak. Ini kejadian ribut paling teruk pernah berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang lagi mangsa, Mohd. Poad Mohd. Yusop, 78, berkata, ketika kejadian dia sedang minum di kedai tidak jauh dari rumahnya di Parit 7A Sungai Manik di sini.
Katanya, dia dan penduduk lain dapat melihat ribut yang melanda kampungnya sehingga menyebabkan bumbung rumah penduduk diterbangkan angin selain pokok tumbang.
“Setelah keadaan reda, saya balik ke rumah dan terkejut melihat bumbung rumah sudah tiada, diterbangkan angin selain banyak barang rosak,” katanya.
Dalam kejadian semalam, sekurang-kurangnya 34 rumah terjejas ekoran hujan lebat disertai ribut yang menyebabkan banyak pokok tumbang di mukim Sungai Manik dalam Daerah Hilir Perak.
Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Hilir Perak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memaklumkan, pihaknya menerima laporan lebih 70 pokok tumbang. – UTUSAN










