MetMalaysia diminta perhebat usaha hadapi fenomena El Nino

MetMalaysia diminta perhebat usaha hadapi fenomena El Nino

ANWAR Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara Bil.13/2026 di Perdana Putra, Putrajaya. PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) diminta memperhebat usaha penerangan dan turun padang ke setiap negeri bagi mendepani fenomena El Nino yang dijangka bermula sekitar Jun hingga Julai ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini meneliti pembentangan MetMalaysia berhubung fenomena El Nino serta implikasinya terhadap negara.

Menurut beliau, mesyuarat tersebut bersetuju agar MetMalaysia segera memperluaskan usaha penerangan dengan mengadakan taklimat dan sesi pencerahan yang menyeluruh di semua negeri.

“Selain kesiapsiagaan di peringkat akar umbi mesti diperkukuh kerana langkah pencegahan dan persediaan awal adalah benteng terbaik dalam mendepani kesan cuaca ekstrem yang semakin tidak menentu,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, kerajaan turut menerima pembentangan daripada Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) mengenai hala tuju syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak serta gas (OGSE) negara.

Katanya, kerajaan berpandangan bahawa urusan perniagaan serta pengembangan industri wajar dipacu oleh kecekapan, ketangkasan dan kebijaksanaan para penggiat industri sendiri.

“Dengan Kerajaan terus menyediakan dasar yang jelas, kondusif dan menyokong pertumbuhan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan akan terus berikhtiar mendepani ketidaktentuan ekonomi global, ketegangan geopolitik serta pelbagai krisis dunia yang semakin mencabar.

“Kerajaan Madani akan terus berikhtiar dengan penuh kebijaksanaan dan berpandangan jauh agar kepentingan rakyat terbanyak sentiasa terjaga serta ekonomi negara kekal mampan, berdaya tahan dan teguh menghadapi sebarang cabaran mendatang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN