PETALING JAYA: Pensijilan halal menjadi pemangkin utama kepada perkembangan perniagaan makanan ringan Crispy Toast apabila meningkatkan keyakinan pengguna serta membuka laluan ke rangkaian runcit utama di negara ini.
Pengurus Hannah Food & Beverages, Siti Hafsah Rosli berkata, keputusan mendapatkan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bukan sekadar memenuhi keperluan pasaran, sebaliknya mencerminkan komitmen syarikat dalam memastikan integriti produk sentiasa terpelihara.
“Pensijilan ini memperkukuh kredibiliti jenama kami, sekali gus membolehkan produk menembusi pasar raya dan kedai serbaneka yang meletakkan status halal sebagai syarat utama.
“Kami mula beroperasi di kilang baharu pada Disember 2021 bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran serta memastikan pematuhan kepada standard keselamatan makanan yang lebih tersusun.
“Kami kemudiannya memperoleh sijil halal pada April 2022, sekali gus membuka peluang produk memasuki beberapa rangkaian runcit seperti AEON, ST Rosyam Mart, emart24, BilaBila Mart, Richiamo Mart dan Mari Mart,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, jenama itu kini dalam usaha menambah lebih banyak saluran pengedaran termasuk pasar raya, stesen minyak dan kiosk bagi meningkatkan capaian produk di seluruh negara.
“Pada masa sama, syarikat turut melihat potensi untuk menembusi pasaran antarabangsa dalam masa terdekat,” ujarnya.
Perniagaan yang bermula secara kecil-kecilan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu kini mampu menjana pendapatan antara RM30,000 hingga RM50,000 sebulan dengan margin keuntungan bersih sekitar 15 peratus.
Katanya, cabaran utama dalam mendapatkan pensijilan halal adalah memastikan keseluruhan rantaian bekalan bahan mentah mematuhi piawaian halal, termasuk daripada sumber pembekal.
“Proses ini memerlukan penelitian teliti, dokumentasi lengkap serta pemantauan berterusan bagi memastikan setiap aspek pengeluaran mematuhi standard ditetapkan.
“Kami melihat pensijilan halal bukan lagi sekadar nilai tambah, sebaliknya menjadi keperluan penting bagi usahawan industri makanan dan minuman untuk berkembang.
“Pensijilan halal juga bukan sahaja memberi jaminan kepada pengguna Islam, malah meningkatkan kepercayaan pasaran secara keseluruhan serta membuka peluang ke peringkat lebih besar termasuk pasaran antarabangsa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan lebih ramai usahawan melihat pensijilan halal sebagai pelaburan strategik jangka panjang yang mampu memperkukuh daya saing dan kelangsungan perniagaan.
“Walaupun proses permohonan mencabar, ia merupakan pelaburan jangka panjang yang mampu meningkatkan kepercayaan pelanggan serta memperluas potensi pasaran,” jelasnya. – UTUSAN









