Torino tangguh kejuaraan Inter Milan

Torino tangguh kejuaraan Inter Milan

REAKSI pemain Inter Milan selepas tamat perlawanan di Stadio Olimpico Grande, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MILAN: Inter Milan terpaksa menangguh hasrat mereka untuk merangkul kejuaraan Serie A lebih awal selepas seri 2-2 menentang Torino, semalam.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Turin itu, Inter tampak berada di landasan tepat untuk meraih tiga mata penuh selepas mendahului 2-0 hasil jaringan Marcus Thuram dan Yann Bisseck.

Bagaimanapun, kealpaan benteng pertahanan pelawat membuka ruang kebangkitan Torino apabila Giovanni Simeone merapatkan jurang pada minit ke-70 sebelum Nikola Vlasic menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti.

Pengendali Inter, Cristian Chivu mengakui anak buahnya hilang fokus selepas selesa mendahului dua gol.

“Apabila mendahului, pemain mula berasakan segalanya mudah, namun satu kesilapan kecil mengubah momentum permainan dan kami menjadi gugup,” katanya.

Keputusan tersebut bagaimanapun tidak banyak menjejaskan kedudukan Inter yang masih selesa di puncak liga dengan kelebihan 10 mata ke atas pencabar terdekat, Napoli.

Dengan empat perlawanan berbaki, Inter hanya memerlukan kemenangan ke atas Parma di San Siro minggu depan untuk mengesahkan gelaran liga ke-21 mereka.

Sementara itu, pertembungan antara AC Milan dan Juventus berakhir tanpa jaringan dalam aksi yang hambar di San Siro.

Jurulatih Juventus, Luciano Spalletti menyifatkan perebutan kelompok empat terbaik masih terbuka dan dijangka berlarutan sehingga penghujung musim.

“Kami masih perlu memenangi beberapa perlawanan lagi kerana pasukan seperti Como dan Roma terus memberi tekanan,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN