KUALA LUMPUR: Akta khusus untuk suruhanjaya kanak-kanak di Malaysia dijangka dibentangkan dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pembentangan itu akan dibuat selepas Rang Undang-Undang Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dilulus dan dikuatkuasakan.
“Sesungguhnya, kerajaan ini akan terus memperkukuh dan mempertingkatkan hak asasi manusia ke arah tiada siapa tertinggal,” katanya ketika membentangkan RUU Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suhakam di Dewan Rakyat hari ini.
Jelas beliau, dengan adanya akta tersebut, Pesuruhjaya Kanak-Kanak yang ditempatkan di Suhakam akan menerajui Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak secara bebas.
Dalam masa terdekat ini juga, jelas Azalina, beberapa reformasi akan diketengahkan termasuk cadangan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2011 (Akta 711) dan penubuhan Ombudsman Malaysia melalui penggubalan satu akta khusus.
“Kerajaan juga tidak melupakan peranan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) yang melaksanakan proses semak dan imbang setiap dasar kerajaan berhubung dengan elemen hak asasi manusia khususnya melalui JPK Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi yang dipengerusikan oleh William Leong Jee Keen (Ahli Parlimen Selayang) serta JPK Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat yang dipengerusikan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin.
“Saya sebagai mantan Pengerusi JPK sebelum ini berpendapat bahawa JPK adalah salah satu entiti yang paling berkesan dalam menjayakan agenda pembinaan negara dan pengukuhan demokrasi,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Azalina turut memaklumkan yang cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan secara menyeluruh termasuk memberi hak kewarganegaraan melalui penguatkuasaan undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warga negara.
“Terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri dalam mempercepat cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan supaya isu-isu berhubung kait dengan aspek kewarganegaraan dapat diselesaikan secara holistik.
“Saya juga menghargai kerjasama badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam memahami kompleksiti isu perundangan dalam perkara ini dan terus memberikan sokongan yang sewajarnya terhadap usaha.
“Kerajaan dalam menyelesaikannya mengikut proses undang-undang yang sedia ada,” katanya. – UTUSAN










