PAC mahu kerajaan nyahklasifikasi laporan 'Land Swap'

PARLIMEN: PAC mahu kerajaan nyahklasifikasi laporan ‘Land Swap’ Kementerian Pertahanan 

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu kerajaan menyahklasifikasi laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berkenaan projek Land Swap di bawah Kementerian Pertahanan. 

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, beliau telah menulis surat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said untuk menyahklasifikasi laporan itu supaya PAC baharu diterajuinya dapat meneliti laporan itu semula. 

“Laporan projek Land Swap Kementerian Pertahanan masih belum dinyahklasifikasi dan memandangkan JKSTUPKK telah dibubar, saya mahu supaya laporan ini dinyahklasifikasi,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini. 

Mas Ermieyati berkata, projek Land Swap itu antara tiga laporan yang pernah dibentang kepada PAC Parlimen ke-14 pada 2 April 2019 dan 16 November 2020. 

Dua laporan JSTUPKK lain berhubung pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) pada 16 November 2020 dan laporan JSTUPKK berhubung perolehan enam buah kapal Second Generation Patrol Vessel (SGPV), berkeupayaan Littoral Combatant Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia pada 1 Disember 2020. 

“Dua daripada tiga laporan ini telah dinyahklasifikasi oleh Jabatan Perdana Menteri iaitu AES pada Julai 2022 dan SGPV berkeupayaan LCS pada 17 Ogos 2022,” katanya. 

Projek Land Swap merupakan satu kaedah pembangunan kem-kem tentera, perumahan anggota tentera dan fasiliti-fasiliti lain yang dibiayai melalui pertukaran tanah milik Persekutuan diberi kepada pihak swasta yang membangunkannya.

Ia adalah satu kaedah untuk menangani kekangan kewangan kerajaan di sebalik keperluan yang besar terhadap pembangunan.

Keseluruhan 16 projek land swap itu melibatkan 2,923 ekar tanah milik Persekutuan yang bernilai RM4.7 billion dan nilai projek yang sepatutnya dibangunkan adalah sebanyak RM4.8 billion.

Sehingga Disember 2018, hanya lima projek telah disiapkan, dua dalam pembinaan dan baki sembilan projek lagi sama ada gagal disiapkan atau masih dalam proses untuk ditandatangani.

Media melaporkan, berdasarkan Laporan JKSTUPKK, siasatan mengenai projek Land Swap itu mendapati unsur-unsur kelemahan dan kecuaian dari segi tadbir urus selain penglibatan anggota pentadbiran iaitu bekas perdana menteri dan bekas menteri pertahanan dalam 13 daripada 16 projek Land Swap.

Menurut laporan JKSTUPKK yang membuat siasatan dari Julai hingga Disember 2018, kelemahan itu termasuk dalam perancangan dan perolehan telah menyebabkan tujuan asal projek untuk meningkatkan kesiapsiagaan ketenteraan negara tidak tercapai sepenuhnya.

Mengulas berhubung kenyataannya minggu lalu kerajaan diharap menghentikan amalan pelantikan bekas Ketua Setiausaha dilantik ke jawatan Ketua Audit Negara, Mas Ermieyati menjelaskan ia haruslah dilakukan berdasarkan kelayakan dan pengalaman dalam mengendalikan aspek kewangan, pembangunan dan perolehan. 

“Lantikan dalam jawatan ini bukan tempat untuk diletakkan bekas Ketua Setiausaha yang sudah tamat perkhidmatan. Yang paling penting mereka yang layak terutama yang pernah mengendalikan kewangan, pembangunan dan perolehan. 

“Ini kerana, berdasarkan pengalaman berada di prosiding, mereka yang mempunyai pengetahuan dalam ketiga-tiga perkara ini amatlah dituntut dan diperlukan untuk menjawat jawatan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya