Malaysia perlu ambil tindakan ke atas Jocelyn Chia

Malaysia perlu ambil tindakan ke atas Jocelyn Chia

HISHAMUDDIN HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelawak kelahiran Singapura, Jocelyn Chia yang memperlekeh Malaysia dan menggunakan tragedi negara sebagai bahan lawak perlu dikenakan tindakan undang-undang.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas tanpa kompromi dan mengikut undang-undang.

Tegas beliau, kerajaan perlu menyiasat di mana Jocelyn berada dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pelawak tersebut berdasarkan undang-undang di negara berkenaan.

“Laporan jenayah perlu dibuat oleh Kedutaan Malaysia di negara tempat Jocelyn membuat persembahan menghina negara. Tindakan jenayah dapat diambil oleh negara berkenaan kepada wanita tersebut kerana menghina Malaysia dan mewujudkan permusuhan serta ketidakharmonian kepada negara dan perasaan tidak senang kepada keluarga mangsa-mangsa MH370.

“Wisma Putra melalui Kedutaan Malaysia juga boleh memulakan tuntutan sivil ke atas Jocelyn  di negara di mana wanita itu melakukan persembahan supaya dapat memberi teladan. Pelawak tersebut wajar membayar pampasan ganti rugi kepada Kerajaan Malaysia atas tindakannya menjatuhkan reputasi negara kita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Jocelyn  melalui sebuah rakaman video berdurasi satu minit 29 saat yang dimuat naik di aplikasi TikTok memperlekeh Malaysia dalam satu persembahan komediri yang dipercayai berlaku di Mahattan, New York baru-baru ini.

Melalui klip video bertajuk ‘Singapore vs Malaysia’, Jocelyn membandingkan Malaysia hanya menjadi negara membangun sedangkan negaranya lebih ke hadapan selepas 40 tahun berpisah dari Tanah Melayu.

Antara perkara yang menjadi bahan lawak kepada Chia adalah mengenai kehilangan pesawat Malaysia, MH370.

Semakan Utusan Malaysia mendapati video tersebut sudah dipadam di akaun TikTok @comedycellarusa selepas meraih pelbagai kecaman terutama daripada rakyat Malaysia yang merasakan lawak dilakukan Jocelyn keterlaluan.

Malah, akaun Instagram dan Twitter milik pelawak tersebut juga hilang yang dipercayai disebabkan ‘diserang’ rakyat Malaysia.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon dalam satu kenyataan menyatakan wanita tersebut bukan lagi rakyat Singapura dan tindakan tersebut tidak mencerminkan pandangan negara tersebut terhadap Malaysia.

Hishamuddin berkata, beliau menyokong sekiranya Chia disekat daripada memasuki Malaysia dan tindakan itu katanya boleh dilakukan oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen.

“Tetapi hanya sekatan masuk ke Malaysia tidak memadai kerana saya rasa individu ini mungkin tidak berminat untuk masuk ke dalam negara. Jadi perlu ambil tindakan tegas mengikut undang-undang,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya