SHAH ALAM: Ketika kebanyakan lebuh raya dilaporkan sesak berikutan penduduk mula meninggalkan ibu kota untuk pulang ke kampung, masih terdapat warganya yang mengambil keputusan untuk beraya di sini.
Malah, ada sebahagian mereka sanggup melupakan kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha apabila mahu berjimat untuk mengurangkan perbelanjaan perjalanan untuk pulang mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Seorang jurujual, Mohd. Burhanuddin Mohd. Noor, 34, yang mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga, Kedah berkata, dia memilih untuk pulang ketika mengundi nanti kerana menyifatkan tanggungjawab itu lebih penting berbanding Aidiladha yang disambut setiap tahun.
“Kalau balik bulan ini, nanti Ogos hendak balik lagi untuk mengundi, sedangkan kos perjalanan pergi dan balik pun sudah lebih RM400. Lebih baik saya pulang ketika mengundi nanti, tidaklah terasa sangat beban perbelanjaannya.
“Saya sudah pun beritahu ibu dan ayah di Alor Setar, Kedah, mereka faham. Bila balik pada PRN nanti pun saya tetap berjumpa dengan mereka serta sanak-saudara yang lain. Tahun depan, insya-Allah kita boleh sambut raya pula,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Alasan yang sama turut diberikan seorang juruukur tanah, Nik Aiman Nik Hisham, 30, yang memberitahu terpaksa melupakan kemeriahan sambutan Aidiladha di Kelantan supaya dia dapat pulang mengundi pada PRN nanti.
“Walaupun cuma RM200 kos perjalanan pergi dan balik dari Puchong, Selangor ke Kota Bharu, Kelantan, hendak balik dua kali dalam tempoh terdekat agak membebankan dan belanja mungkin boleh jadi lebih kerana kesesakan jalan raya.
“Kebanyakan warga Kelantan yang tinggal di luar negeri memang akan pulang ke negeri itu. Ini akan mengakibatkan kesesakan di jalan yang menghala ke Kelantan.
“Jadi saya fikir, baik saya balik waktu hari mengundi kelak, memandangkan PRN pun mungkin berlangsung paling awal bulan depan,” ujarnya yang bakal mengundi di DUN Meranti. – UTUSAN











