Lebih 90,000 terima manfaat pengagihan Bakul Rahmah 8 kali sebulan - Utusan Malaysia

Lebih 90,000 terima manfaat pengagihan Bakul Rahmah 8 kali sebulan

SALIM Abdul Rahman (dua dari kanan) ketika majlis penyerahan Bakul Rahmah kepada penduduk di sekitar Cherok Tokun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

BUKIT MERTAJAM: Lebih 90,000 Bakul Rahmah telah diagihkan kepada golongan yang memerlukan setakat ini dengan pengagihan kini dibuat sebanyak lapan kali sebulan.

Penasihat Yayasan Global Mesra, Datuk Seri Salim Abdul Rahman berkata, pengagihan bantuan itu dijangka berterusan untuk tempoh satu penggal atau selama lima tahun secara berturut-turut.

“Semua tempat dah ada (Bakul Rahmah) dan kami juga telah agih bantuan ini ke seluruh kawasan Parlimen buat masa ini,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan bantuan itu di Cherok Tokun, di sini hari ini.

Pada majlis yang turut dihadiri oleh abang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Idrus Ibrahim, 81, serta beberapa pemimpin PKR yang lain itu, seramai 500 penerima khususnya yang tinggal di sekitar Bukit Mertajam menerima sumbangan Bakul Rahmah berkenaan.

Difahamkan, Bakul Rahmah yang setiap satunya dianggarkan bernilai RM100 itu mengandungi 13 barangan keperluan harian termasuk beras, susu, gula, biskut dan sebagainya.

SEBAHAGIAN petugas mengagihkan Bakul Rahmah kepada penerima di sekitar Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

Dalam pada itu, seorang penerima, Fazilah Hussin, 46, bersyukur kerana bantuan tersebut dapat meringankan beban keluarganya terutama dalam membuat persiapan Aidiladha yang akan menjelang beberapa hari lagi.

“Alhamdulillah, dapatlah tampung sikit-sikit (perbelanjaan harian). Memang gembiralah.

“Terima kasih PM (Perdana Menteri) dan kerajaan kerana bagi bantuan ini. Memang PM seorang pemimpin yang sangat prihatin,” kata ibu tunggal itu yang merupakan anak kelahiran Cherok Tokun.

Seorang lagi penerima, Desa Md. Isa, 62, juga berterima kasih kepada kerajaan kerana terpilih untuk menerima sumbangan Bakul Rahmah itu.

“Syukur, lepaslah nak sambut raya nanti walaupun tak banyak. Alhamdulillah,” katanya yang masih bekerja di sebuah kilang di Machang Bubok untuk menampung kehidupan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya