18,000 Bakul Rahmah untuk golongan miskin tegar - Utusan Malaysia

18,000 Bakul Rahmah untuk golongan miskin tegar

SALAHUDDIN AYUB (tengah) bergambar bersama-sama dengan penerima bantuan Program Kembali Ke Sekolah Parlimen Pulai di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengedarkan sebanyak 18,000 Bakul Rahmah bagi membantu golongan miskin tegar di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pemberian Bakul Rahmah itu dijangka bermula awal Ramadan hingga menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, pengagihan fasa pertama itu membabitkan sebanyak 50 peratus daripada sejumlah 37,000 golongan miskin tegar yang dijadualkan akan mendapat Bakul Rahmah tahun ini.

“Untuk fasa pertama ini, seramai 18,000 daripada 37,000 isi rumah miskin tegar seluruh negara akan menerima Bakul Rahmah bernilai RM100 setiap satu yang berisi 12 barangan keperluan asas.

“Bakul Rahmah ini bantuan khusus untuk golongan miskin tegar yang tergolong daripada pesakit kronik, suami atau isteri terpaksa berhenti kerja berikutan ada anak yang sakit, menjaga sanak saudara atau anak yatim. Ia disasarkan kepada sebahagian daripada 130,000 isi rumah miskin tegar,” katanya selepas menyampaikan bantuan Program Kembali Ke Sekolah Parlimen Pulai, di sini hari ini.

Inisiatif BakuI Rahmah adalah satu daripada empat elemen menerusi program Payung Rahmah bertujuan membantu golongan B40 dan miskin tegar bagi mendepani isu kos sara hidup yang tinggi.

Payung Rahmah membabitkan empat elemen, iaitu Bakul Rahmah, Kafe Rahmah, Jualan Murah Rahmah dan Barangan Rahmah bagi menyantuni golongan itu.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 dilaporkan mengumumkan peruntukan RM100 juta bagi inisiatif Payung Rahmah.

Dalam pada itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai turut memaklumkan mengenai pakej Pakaian Raya Rahmah yang akan ditawarkan menjelang Ramadan dan Aidilfitri nanti.

“KPDN kini sedang terbabit dalam sesi libat urus dengan industri tekstil tentang Pakaian Raya Rahmah, yang kita jangka akan selesai pada minggu depan.

“Insya-Allah, kita akan umumkan Pakej Pakaian Raya Rahmah yang akan ditawarkan kepada  mereka yang memerlukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya