Selangor agih 11,000 Bakul Rahmah bantu miskin tegar - Utusan Malaysia

Selangor agih 11,000 Bakul Rahmah bantu miskin tegar

Bakul Rahmah
AMIRUDIN Shari bergambar bersama sebahagian penerima Bakul Rahmah dekat pekarangan pasar raya Lotus's Kuala Selangor, Selangor hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kerajaan Selangor akan mengagihkan sebanyak 11,000 kotak Bakul Rahmah kepada golongan miskin tegar B10 iaitu individu berpendapatan kurang daripada RM2,500 yang dikenalpasti dalam 22 parlimen di negeri ini.

Senarai nama penerima itu dikenalpasti Ahli Parlimen yang melibatkan seramai 500 penerima di kawasan masing-masing.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, objektif utama inisiatif menerusi Payung Rahmah diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup golongan berkenaan.

“Sebagai permulaan, Bakul Rahmah itu diagihkan kepada empat Parlimen iaitu di Kuala Selangor, Hulu Langat, Sabak Bernam dan Gombak.

“Sumbangan itu kemudian akan digerakkan ke semua Parlimen lain secara berperingkat dan berkala sepanjang Ramadan ini,” katanya selepas melancarkan inisiatif Bakul Rahmah peringkat Selangor di pekarangan pasar raya Lotus’s di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan itu kepada wakil Parlimen dan 15 penerima selain melepaskan Jentera Bakul Rahmah.

Jelas Amirudin, kerajaan negeri mengalukan sumbangan makanan harian daripada mana-mana pihak untuk diagihkan kepada golongan berpendapatan rendah dengan lebih berkesan dan bersasar.

“Kami dan KPDN Selangor amat komited menjalin kerjasama strategik dalam menggerakkan inisiatif Bakul Rahmah. Ia wajar digerakkan secara holistik menerusi penglibatan pelbagai pihak termasuk sektor swasta,” ujarnya.

Tambah beliau, semua penerima itu secara asasnya dikenalpasti menerusi program kerajaan negeri yang dijalankan secara berterusan sehingga kini.

Baru-baru ini, KPDN mengumumkan sebanyak 18,000 Bakul Rahmah untuk golongan miskin tegar di seluruh negara dijangka mula diedarkan mulai awal Ramadan ini sehingga menjelang Aidilfitri.

Pengagihan fasa pertama itu membabitkan sebanyak 50 peratus daripada sejumlah 37,000 golongan miskin tegar yang dijadualkan mendapat bantuan itu tahun ini.

Jumlah keseluruhan golongan miskin tegar di seluruh negara pula membabitkan seramai 130,000 keluarga, yang akan menerima Bakul Rahmah mengikut fasa pengagihan ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.