IPOH: Lebih 90 peratus graduan Taj Internasional College (TIC) berjaya menempatkan diri dalam pasaran kerja sebaik sahaja tamat pengajian.
Pengerusi Eksekutif TIC, Tina Tajuddin berkata, statistik itu menunjukkan TIC berjaya melahirkan graduan yang memiliki kadar kebolehpasaran tinggi dan dijamin kerja sama ada dalam sektor awam mahupun swasta.
Malah katanya, kursus pengajian yang ditawarkan TIC merangkumi Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga menjadikan mereka pilihan majikan dan industri.
“Lebih 90 peratus graduan TIC diterima oleh industri kerana kita menawarkan diploma berteraskan kemahiran seperti Diploma Pengurusan Automatif, Diploma Pengurusan Kecantikan dan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.
“Ini merupakan antara kelebihan TIC kerana kita menawarkan program yang berbeza dengan institusi pengajian tinggi lain,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen Kali Ke-10 TIC di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengasas TIC, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Ketua Penolong Pengarah Kanan TVET Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Aishah Mohamad.
Pada majlis konvokesyen itu, seramai 169 orang graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang diraikan dan menerima diploma serta sijil masing-masing.
Pada majlis sama, Rumaizi menerima Anugerah Kehormat TIC atas jasanya mentadbir dan memajukan bandar raya Ipoh ke arah Bestari Sejahtera melalui Pelan Perancangan Strategik Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Mengulas lanjut beliau berkata, TIC kini memperkukuhkan lagi bidang pendidikan menerusi TVET Profesional yang bertaraf diploma.
Katanya, TVET Profesional merupakan keperluan semasa industri kini dan memenuhi keperluan semasa pasaran
pekerjaan.
“Pelbagai program TVET Profesional telah disediakan oleh TIC yang memberi fokus kepada teknologi, industri dan modul berkaitan teknikal dan kemahiran.
“Inisiatif baharu ini akan membekalkan pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan untuk memasuki pasaran pekerjaan yang kompetitif,” katanya. – UTUSAN










