Laporan tragedi tanah runtuh Batang Kali diperoleh akhir bulan ini

Laporan tragedi tanah runtuh Batang Kali diperoleh akhir bulan ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Laporan hasil penemuan insiden tragedi tanah runtuh Batang Kali mengorbankan 31 nyawa akan diperoleh pada akhir bulan ini dan kemudian dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum dimuktamadkan untuk semua pihak terlibat mengambil tindakan selanjutnya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan, pihaknya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang berkaitan kini di dalam peringkat penyediaan draf laporan akhir.

Katanya, antara elemen yang diambil kira dalam penyiapan laporan ini adalah kerja-kerja ujian penyiasatan tanah di lapangan dan makmal serta penganalisaan data. 

“Data daripada ujian ini adalah penting untuk dianalisis bagi menentukan mekanisme kegagalan oleh pelbagai pakar termasuk dari aspek kejuruteraan geoteknik dan geologi.

“Saya memahami banyak pihak termasuk keluarga mangsa yang terjejas ingin mengetahui atau mendapatkan laporan akhir kejadian berkenaan, justeru saya memberi jaminan JKR sedang melakukan usaha yang terbaik untuk melengkapkan proses ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, beberapa media melaporkan keluhan anggota keluarga mangsa insiden itu yang mempersoalkan mengapa kerajaan sehingga kini masih belum mengeluarkan laporan penuh siasatan tragedi itu.

Mereka menuntut laporan akhir dengan segera bagi membolehkan mereka mengambil langkah ke hadapan.

Kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali pada 16 Disember 2022 itu membabitkan jumlah mangsa maut kedua terbesar selepas kejadian Kondominium Highland Towers runtuh pada 1992 yang mengorbankan 48 nyawa.

Tragedi kira-kira jam 2.30 pagi di Batang Kali itu membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 terkorban termasuk 13 kanak-kanak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya