Laporan kehilangan aktivis tidak perlu didedah

Laporan kehilangan aktivis tidak perlu didedah sehingga rayuan kerajaan didengar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Laporan pasukan petugas khas (PPK) berhubung kehilangan aktivis sosial Amri Che Mat, tidak perlu didedahkan kepada isterinya, Norhayati Mohd. Ariffin buat masa ini sehingga rayuan Kerajaan Malaysia didengar di Mahkamah Rayuan.

Perkara itu ditentukan selepas Hakim Datuk Amarjeet Singh membenarkan kerajaan menggantung perintah Mahkamah Tinggi lain yang mengarahkan agar laporan didedahkan secara terhad kepada isteri aktivis tersebut.

Pada 9 Mei lalu, Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh memerintahkan laporan itu yang dikelaskan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), dikeluarkan oleh Setiausaha PPK kepada Norhayati dalam tempoh 30 hari daripada perintah itu.

Peguam Larissa Ann-Louis yang mewakili Norhayati ketika ditemui wakil media hari ini berkata, Hakim Amarjeet membenarkan permohonan kerajaan (untuk menggantung perintah itu) pada 1 Jun lalu manakala notis rayuan difailkan pada 23 Mei lalu.

Sementara itu di mahkamah berlainan, Pesuruhjaya Kehakiman Su Tian Joo memerintahkan perbicaraan kes saman yang difailkan oleh Norhayati terhadap kerajaan dan 20 pihak lain berhubung kehilangan suaminya, digantung.

Hakim berkenaan berkata, perbicaraan akan diteruskan pada tarikh yang sudah ditetapkan iaitu pada 19 Jun hingga 22 Jun ini dan tiada perintah mengenai kos.

Pada prosiding di hadapan Tian Joo, peguam Surendra Ananth mewakili Norhayati berkata, pihaknya telah memfailkan permohonan untuk menggantung sementara perbicaraan kes saman itu sehingga rayuan kerajaan didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Peguam Kanan Persekutuan Zetty Zurina Kamaruddin mewakili kerajaan tidak membantah permohonan tersebut.

Pada 9 Mei lalu, Hakim Wan Ahmad Farid berkata, isteri Amri hanya dibenar berkongsi laporan itu dengan peguamnya untuk tujuan saman sivil selain dilarang mendedahkannya kepada pihak ketiga.

Mahkamah memutuskan demikian selepas membenarkan semakan kehakiman Norhayati bagi menghapuskan klasifikasi OSA berhubung laporan kehilangan suaminya pada 2016.

Dalam keputusannya, Hakim Wan Ahmad Farid berpuas hati, keputusan pegawai awam ketika mengklasifikasi dokumen di bawah OSA boleh diubah kerana dokumen itu bukan muktamad dan konklusif.

Norhayati selaku plaintif menamakan Mohd. Russaini Idrus dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan-defendan.

Semakan kehakiman itu bertujuan membatalkan klasifikasi OSA untuk mengakses laporan bagi mengukuhkan tindakan sivil yang berkaitan terhadap polis dan Kerajaan Persekutuan berhubung kehilangan suaminya, hampir tujuh tahun lalu.

Semakan kehakiman itu difailkan ekoran siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada 3 April 2019 lalu menyimpulkan bahawa Amri dan Paderi Raymond Koh adalah mangsa kehilangan secara paksa pada 2016 dan 2017.

Raymond, 64, dilapor diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng ketika memandu di Kelana Jaya, dekat sini, pada 13 Februari 2017.

Amri, 44, pengasas bersama Persatuan Kebajikan Harapan Perlis, hilang sejak 24 November 2016 sewaktu sedang memandu di Jalan Padang Behor ketika dalam perjalanan melawat rakannya manakala kenderaan yang dipandu dijumpai di tapak pembinaan terbiar di Bukit Chabang, keesokan hari.

Dalam laporannya, Suhakam membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas terlibat secara langsung terhadap kehilangan secara paksa Raymond dan Amri.

Pendengaran siasatan awam Suhakam berlangsung bermula Oktober 2017 hingga Disember 2018 melibatkan 40 saksi iaitu 16 saksi bagi kes Raymond dan 24 saksi bagi kes Amri.

Selanjutnya pada 26 Jun 2019, Kementerian Dalam Negeri (KDN) membentuk pasukan petugas khas melibatkan enam anggota yang diketuai bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abd. Rahim Uda untuk menyiasat perkara itu.

PPK turut dianggotai bekas Ketua Bahagian Perundangan PDRM Datuk Mokhtar Mohd. Noor; Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM Datuk Zamri Yahya; Pengarah Bahagian Operasi, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan Datuk Muhammad Bukhari Ab Hamid.

Turut terlibat Pegawai Undang-undang Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara (AGC), Mohd. Sophian Zakaria dan Setiausaha Bahagian Suruhanjaya Pasukan Polis Kementerian Dalam Negeri (KDN), Mohd. Russaini Idrus.

Bagaimanapun, Mokhtar telah menarik diri secara sukarela daripada pasukan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya