PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat kandungan yang memfitnah dan menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menerusi akaun TikTok palsu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sedang menjalankan siasatan berkaitan kandungan yang tular itu.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan susulan satu kenyataan kandungan yang dikesan oleh Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor, atau Royal Press Office,
“Siasatan dijalankan di bawah Akta Hasutan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan seseorang dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.
“Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu menyalahgunakan perkhidmatan atau kemudahan rangkaian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kumar mengingatkan semua pihak untuk sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang hantaran menerusi media sosial terutama berkaitan isu 3R iaitu Agama, Bangsa dan Institusi Diraja.
“Pihak JSJ tidak akan sekali-kali berkompromi dalam perkara yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan sentiasa terpelihara,” katanya.
Semalam, Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor atau Royal Press Office mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak yang menghasilkan akaun TikTok palsu bagi memfitnah serta menghina Sultan Ibrahim.
Terdahulu, Royal Press Office menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, memaklumkan akaun berkenaan memakai nama ‘Sultan Ibrahim Ismail’ dan dikesan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menyebarkan kandungan berunsur penghinaan terhadap Seri Paduka Baginda.
Antara kandungan dimuat naik ialah video memaparkan dakwaan kononnya Yang di-Pertuan Agong gemar memakan daging khinzir, yang disifatkan sebagai tidak benar serta menyentuh sensitiviti memandangkan Seri Paduka Baginda adalah Raja Melayu dan Ketua Negara beragama Islam.
Kenyataan itu memaklumkan perbuatan berkenaan adalah satu penghinaan yang amat serius dan berniat jahat terhadap institusi diraja.
“Sehubungan itu, Royal Press Office amat berharap Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat,” katanya. – UTUSAN










