PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memastikan komitmen penuh kerajaan terhadap semua sokongan yang diperlukan sama ada dari segi peruntukan dan kerjasama daripada kementerian berkaitan bagi menjayakan pelaksanaan reformasi Kertas Putih Kesihatan.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. R. Muruga berkata, proses pembaharuan kini boleh dimulakan dengan langkah penting seterusnya iaitu memastikan pembentukan jawatankuasa khas yang ditugaskan secara eksklusif.
Katanya, ia bagi merancang dan menyelia pelaksanaan sistematik pembaharuan penjagaan kesihatan sepanjang tempoh 15 tahun yang disasarkan itu.
“Kami menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua ahli Parlimen kerana menyokong Kertas Putih Kesihatan dan memainkan peranan penting dalam mengetengahkan banyak isu yang menjejaskan penjagaan kesihatan negara.
“Kami bersetuju dengan pandangan yang dikongsi oleh beberapa ahli Parlimen bahawa pembaharuan penjagaan kesihatan hanya akan dapat dilakukan dengan kepimpinan yang kukuh.
“Oleh itu kami berharap Perdana Menteri sebagai seorang reformis dapat memastikan komitmen penuh kerajaan terhadap semua sokongan yang diperlukan sama ada dari segi peruntukan dalam bajet dan kerjasama daripada kementerian berkaitan bagi menjayakan pelaksanaan reformasi yang dirancang,” katanya.
Mengulas lanjut, Muruga berkata, MMA juga mahu melihat peningkatan yang lebih ketara dalam belanjawan kesihatan tahunan kerana ia mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembaharuan penjagaan kesihatan.
Katanya, walaupun kerajaan berusaha meningkatkan belanjawan secara beransur-ansur ke arah lima peratus, MMA berharap akan ada peningkatan yang lebih bermakna dalam bajet kesihatan yang dibentangkan untuk 2024.
“Seperti yang diakui Kementerian Kesihatan, penjagaan kesihatan selama bertahun-tahun kekurangan dana dan oleh itu kami berharap akan wujud komitmen yang lebih kukuh dalam membiayai kesihatan dengan visi yang jelas pada masa kini,” katanya.
Beliau menambah, penglibatan antara kerajaan dan pihak berkepentingan juga perlu berterusan ke arah sistem penjagaan kesihatan yang lebih kukuh dan berdaya tahan. – UTUSAN










