PETALING JAYA: “Pemimpin dan ahli UMNO perlu buktikan dakwaan KJ tidak semestinya tepat.”
Demikian reaksi Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun bagi menjawab kenyataan Khairy Jamaluddin yang mendakwa UMNO akan ‘bungkus’ atau kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Khairul Azwan menjelaskan, semua ahli UMNO perlu membuktikan kritikan bekas Ketua Pemuda UMNO itu tidak semestinya betul dan tepat dengan terus bekerja kuat memenangkan calon-calon Barisan Nasional (BN).
“Kita akan berusaha membuktikan ramalan dia itu salah,” katanya ketika ditemui semalam.
Kelmarin, Khairy mendakwa parti itu akan ‘bungkus’ pada PRN nanti.
Beliau berkata demikian dengan meninggalkan komen tersebut di Instagram milik bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Dalam pada itu, Khairul Azwan berkata, UMNO sebagai sebuah wadah politik yang matang dan penuh pengalaman, bersedia menerima teguran dan kritikan terutamanya bersifat konstruktif.
Jelasnya, mana-mana individu yang mengkritik perlu juga bersedia untuk dikritik.
“Apatah lagi bukan ahli UMNO mereka bebas mengkritik. Manakala ahli sendiri kena guna saluran betul untuk berbuat demikian,” jelas beliau.
Tambah Khairul Azwan, kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah terbukti berjaya mengekalkan kedudukan parti sebagai tonggak Kerajaan Perpaduan bersama parti gabungan lain demi mengekalkan kestabilan politik seperti titah nasihat Yang di-Pertuan Agong. –UTUSAN










