KANGAR: Permintaan ketum dari negara ini yang sudah tidak laku di Thailand susulan polisi negara jiran menghalalkan daun berkenaan menyaksikan penyeludup mula beralih arah dengan aktiviti seludup minyak petrol dan diesel subsidi yang lebih menguntungkan.
Penyeludup dikatakan mampu meraih keuntungan sebanyak RM1.79 bagi seliter petrol RON95 yang dijual di Thailand manakala diesel pula mengaut untung RM1.16 seliter.
Mereka yang melakukan kegiatan berkenaan mampu meraih keuntungan hampir RM500 bagi satu trip dengan menggunakan empat jenis kenderaan iaitu kereta sedan, van, pacuan empat roda dan lori membabitkan 430 liter.
Di Thailand harga bahan bakar itu dijual pada harga RM3.84 seliter berbanding harga ditetapkan di stesen minyak bersubsidi iaitu RM2.05 seliter manakala diesel juga dipasarkan dengan harga RM3.31 seliter.
Peningkatan tersebut dapat dilihat iaitu pada tahun lalu, sebanyak 45 kes penyelewengan diesel dan petrol bersubsidi direkodkan di Perlis membabitkan rampasan bernilai RM106,000.70.
Tahun ini sehingga Jun, sebanyak 48 kes penyelewengan diesel dan petrol bersubsidi direkodkan di negeri ini membabitkan nilai rampasan berjumlah RM145,573.15.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) negeri, Norazah Jaapar berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket penyeludupan ketum mula beralih arah melakukan kegiatan penyelewengan bahan bakar itu memandangkan ia lebih menguntungkan.
“Tidak mustahil mereka aktif melakukan kegiatan penyelewengan bahan kawalan ini susulan daripada permintaan tinggi yang diterima, malah sindiket juga mampu meraih keuntungan lumayan berikutan daripada kejatuhan harga ketum,” katanya.
Mengikut statistik, rampasan ketum dari 2020 sehingga 2023 menyaksikan penurunan cukup ketara iaitu pada 2020 sebanyak 180,485 kilogram ketum dirampas; 2021 (160,022 kilogram); 2022 (53,269 kilogram) dan sehingga April tahun ini hanya sekitar 13,000 kilogram.
Tambah Norazah, jumlah rampasan petrol RON95 dan diesel bagi tempoh hampir dua tahun ini adalah sebanyak RM251,573.85 membabitkan 93 kes.
“Sindiket penyelewengan diesel kebiasaannya akan memasang tangki tambahan pada kenderaan mereka bagi mengisi bahan api kawalan itu sehingga penuh lalu dikumpulkan di setor-setor haram sekitar Wang Kelian dan Padang Besar.
“Petrol dan diesel yang dikumpulkan di setor haram itu kemudiannya akan dijual kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.
“Sindiket juga mengaburi mata pengusaha stesen-stesen minyak dengan melakukan pengisian bersesuaian mengikut jenis kenderaan dipandu mereka bagi menampakkan pembelian itu adalah normal,” katanya.
Dalam melancarkan operasi mereka, Norazah berkata, sindiket turut mengupah ‘tonto’ bagi memerhatikan pergerakan pegawai-pegawai penguat kuasa untuk mengelakkan kegiatan mereka dihidu.
Jelasnya, kegiatan penyelewengan itu juga didalangi penduduk tempatan dan ada antara mereka turut aktif beroperasi secara turun-temurun.
“Gerakan ini adalah secara persendirian dan kecil-kecilan di mana tujuannya adalah bagi meminimumkan pergerakan daripada diketahui oleh pihak berkuasa,” katanya.
Katanya, KPDN turut mengenal pasti empat lokasi yang aktif melakukan kegiatan berkenaan iaitu di sekitar Kampung Kolam, Kampung Melayu, Kampung Baru dan Wang Kelian.
“Semua kawasan ini adalah terletak berhampiran sempadan Malaysia-Thailand dan dikenal pasti aktif berlaku kegiatan penyelewengan petrol dan diesel subsidi,” katanya. – UTUSAN










