PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian tembak di Bandar Sunway, di sini semalam.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sedang melihat serta mengesan CCTV di sekitar kawasan kejadian bagi membantu siasatan.
“Setakat ini kita telah mengambil keterangan empat individu termasuk pekerja premis ketika kejadian tersebut berlaku.
“Buat masa ini tiada sebarang tangkapan dilakukan namun pihak polis sedang melakukan siasatan lanjut berkaitan kes ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, beberapa klip video tular memaparkan ketiga-tiga lelaki bersenjata pistol masuk ke premis aksesori telekomunikasi berkenaan dan menembak mangsa pada jarak dekat di bahagian kepala.
Ketiga-tiga suspek kemudian melarikan diri menggunakan kenderaan Nissan Almera dan Perodua Myi.
Video berdurasi 56 saat itu adalah rakaman dari kamera litar tertutup (CCTV) premis terbabit.
Semalam media melaporkan seorang lelaki maut ditembak di premis aksesori telekomunikasi di Bandar Sunway di sini.
Kejadian kira-kira 1.35 tengah hari itu menyebabkan mangsa berusia 32 tahun maut akibat ditembak sekurang-kurangnya dua das.
Hasil siasatan mendapati mangsa mempunyai rekod jenayah samun dan curi.
Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut supaya tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis melalui nombor telefon 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya) atau Pegawai Penyiasat iaitu ASP Ahmad Faizal Bin Shaikh Ab Rahim di talian 019-7506606. Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan. – UTUSAN










