Kes cerai di Perlis dijalankan tertutup mulai 1 Julai - Utusan Malaysia

Kes cerai di Perlis dijalankan tertutup mulai 1 Julai

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada program forum safar ilmu MAIPs bersempena cerapan Rukyah Hilal Awal Zulhijjah 1444 Hijrah anjuran Jabatan Mufti negeri, di Masjid Al Hussain Kuala Perlis semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Mahkamah Syariah negeri ini bakal melaksanakan sesi perbicaraan bagi kes-kes penceraian secara tertutup dan terhad di antara pihak-pihak yang berkhilaf sahaja.

Keputusan tersebut dibuat melalui arahan Ketua Hakim Syarie negeri, Jaidi Ahmad setelah dipersembah maklum dan diperkenankan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda yang juga merupakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah berkenan agar perbicaraan secara tertutup dilaksanakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs) bermula 1 Julai ini.

Keputusan berkenaan dibuat adalah bagi menjaga aib di antara pihak-pihak yang terlibat terutama yang melibatkan kes-kes mendedahkan keaiban peribadi selain mengelakkan unsur ‘ghibah’ dan membawa kepada fitnah.

Titah perkenan itu telah dizahirkan ketika program forum safar ilmu MAIPs bersempena cerapan Rukyah Hilal Awal Zulhijjah 1444 Hijrah anjuran Jabatan Mufti negeri, di Masjid Al Hussain Kuala Perlis semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Sementara itu, Jaidi berkata, pelaksanaan berkenaan dibuat hasil daripada penelitian terhadap amalan yang dilaksanakan di Doha, Qatar melalui pengalaman program safar ilmu MAIPs terdahulu serta telah dilaksanakan kajian mendalam terhadap kesannya sebelum diimplementasikan di Perlis.

Dalam pada itu, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Islam menegaskan kewajipan menutup aib peribadi yang tiada kepentingan untuk diketahui dan diulas oleh pihak lain apatah lagi di zaman ini yang isu-isu peribadi mudah dimanipulasikan.

Menurut Mohd Asri, masyarakat sering membuat penilaian sendiri tentang hubungan rumah tangga orang lain tanpa memahami situasi yang sebenarnya.

“Padahal sebenarnya tiada kepentingan untuk mereka tahu apatah lagi memberikan komentar.

“Hal itu akan membabitkan bukan sahaja yang terlibat secara langsung tapi maruah ahli keluarga yang lain. Kita tidak mahu Mahkamah Syariah yang bertujuan menegakkan syariah menjadi punca pelanggaran syariah dan dosa dalam masyarakat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya