Tetapkan masa mandatori selesai kes keluarga – PGSM

Tetapkan masa mandatori selesai kes keluarga – PGSM

MUSA AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tempoh masa mandatori perlu ditetapkan bagi kes keluarga seperti hak penja­gaan anak (hadhanah) yang mesti diselesaikan dalam tempoh bawah tiga tahun kecuali dalam keadaan luar biasa.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, kes keluarga seperti hadhanah sepatutnya diputuskan segera oleh mahkamah kerana ia melibatkan kebajikan anak-anak.

Katanya, kes penjagaan anak wajar diberi keutamaan khas kerana kelewatan boleh menjejaskan hubungan ibu bapa, anak-anak dan kestabilan emosi mereka.

“Contohnya, apabila pihak-pihak bercerai, akan ada pihak yang masih terpaksa membayar ansuran pinjaman rumah sedangkan rumah belum dibahagikan dan apa-apa bayaran selepas perceraian tidak dianggap sebagai sebahagian sumbangan pihak-pihak.

Lebih malang lagi apabila rumah tersebut tidak dapat diduduki oleh pihak yang menjelaskan bayarannya.

“Kes harta sepencarian pula memang lazimnya lebih kompleks kerana melibatkan penilaian aset, dokumen kewangan, saksi dan pertikaian pemilikan. Namun begitu, tempoh sehingga belasan tahun menunjukkan wujud masalah struktur dan bukan sekadar kerumitan biasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas laporan muka depan akhbar ini kelmarin, mengenai dilema dialami umat Islam di negara ini berikutan penangguhan kes di mahkamah syariah termasuk tuntutan harta sepencarian selepas bercerai yang tertangguh lebih 10 tahun.

Bagi mengatasi masalah ke­kerapan penangguhan kes di mahkamah syariah, Musa berkata, hakim tertentu juga perlu dilantik yang hanya men­dengar kes hadhanah, nafkah atau harta sepencarian sekali gus dapat membantu meningkatkan kepakaran dan kecekapan.

“Selain itu, bilangan hakim syarie dan pegawai penyelidik di seluruh negara perlu ditambah. Pengurusan kes juga perlu diperketatkan dengan pihak mahkamah boleh mengehadkan jumlah penangguhan dan mengenakan kos terhadap pihak yang sengaja melengah-lengahkan prosiding.

“Audit prestasi kes tertunggak perlu dilaksanakan dengan memantau secara khas kes terlalu lama oleh pentadbiran kehakiman. Aspek digitalisasi juga perlu diberikan penekanan kerana banyak kelewatan berpunca daripada masalah dokumentasi, fail fizikal dan penyelarasan tarikh,” katanya.

Secara keseluruhannya, beliau berkata, isu penangguhan kes bukan semata-mata soal individu hakim atau peguam, tetapi melibatkan gabungan kapasiti institusi, pengurusan mahkamah, budaya penangguhan dan sumber manusia yang tidak seimbang dengan jumlah kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×