Kerusi PH-BN Kedah diagih seimbang

Kerusi PH-BN Kedah diagih seimbang

MAHDZIR Khalid (tengah) bersama penduduk kampung yang menghadiri majlis kesyukuran meraikan Anugerah Balai Polis Luar Bandar Terbaik di Malaysia dimenangi Balai Polis Kampung Tanjung di Pedu, Padang Terap. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kedah dijangka memiliki komposisi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang hampir seimbang untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pengagihan 36 kerusi itu juga akan mengambil kira pelbagai faktor termasuk parti yang menyandang sesuatu kawasan DUN ketika ini.

Katanya, proses pembahagian itu kini berada di peringkat akhir atau hanya 10 peratus untuk diselesaikan sebelum dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan kedua-dua gabungan.

“Cara (kriteria) pengagihan yang pertama adalah kita ambil kira representasi di sesuatu kawasan, kemudian tengok dari segi rekod-rekod tempat itu sebelum ini dan juga berdasarkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan PRU14 yang lepas.

“Yang ketiga daripada segi sambutan rakyat di tempat itu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Meraikan Anugerah Balai Polis Luar Bandar Terbaik yang dimenangi Balai Polis Kampung Tanjung di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, BN dan PH juga mengetepikan ego serta emosi masing-masing ketika berunding kerusi berkenaan.

“Kalau sudah menang PRU 2018, saya ingat (kerusi) itu tidak payah runding. Cuma kalau nak dirunding (kerusi lain) yang merujuk kepada sama rata adalah representasi parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kalau boleh awak (PH) bertanding separuh saya (BN) separuh, kalau ada dua (DUN dalam satu Parlimen) bagi seorang satu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar pula berkata, status quo kini bukan lagi menjadi penanda aras utama dalam agihan kerusi, sebaliknya mengadunkan pelbagai faktor yang boleh memberi kemenangan kepada PH atau BN.

Menurutnya, rundingan membabitkan 32 daripada 36 kerusi DUN telah disepakati atas semangat perpaduan.

“Kami sudah sampai ke penghujung, rundingan hanya untuk empat kerusi sahaja yang belum selesai. Kita telah berjaya tetapkan apa yang telah diputuskan di peringkat Pusat.

“Selain berdasarkan parameter peringkat Pusat, kita masih ada ruang untuk perbincangan. Ada kawasan kita gunakan status quo, iaitu kerusi sedia ada yang kita menang atau BN menang, maknanya kita tidak usik.

“Tak kan pula PH nak kerusi Bandar Baharu atau Sungai Tiang (yang dimenangi BN), dalam hal ini kita akui kepada mereka. Lain-lain kerusi itu masih ada keterbukaan untuk lihat kepada faktor-faktor boleh menang,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×