GEORGE TOWN : MIC boleh kembali menjadi ‘suara’ nombor satu kaum India dalam mengetengahkan pelbagai isu andai pemimpinnya berani untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) yang kini bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai Kerajaan Perpaduan.
Presiden Interim Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Dr. P. Ramasamy berkata, hal ini demikian kerana, kredibiliti MIC selaku parti politik yang mewakili kaum India ketika ini masih menjadi tanda tanya.
“Adakah MIC bersedia untuk melakukan perkara ini (keluar daripada gabungan PH-BN demi kaum India)?
“Adakah Vigneswaran (Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran) cukup berani untuk membuat keputusan itu?” soal bekas pemimpin DAP itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Ramasamy, sekiranya MIC memilih untuk kekal dalam gabungan berkenaan, peluang parti itu untuk kembali ‘menyinar’ pada pilihan raya umum akan datang mungkin tidak akan tercapai.
“Saya sangat tidak yakin bahawa MIC akan diberi peluang untuk bertanding sehingga 10 kerusi Parlimen pada pilihan raya selepas ini (jika kekal dalam BN).
“Hal ini tidak ada kena mengena sama sekali dengan ‘pengkhianatan’ yang dilakukan oleh UMNO. Sebaliknya, parti tertua kaum India itu (MIC) sudah tidak mendapat sokongan daripada kaum India sendiri,” ujar beliau.
Semalam, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan dilaporkan kecewa dengan layanan yang diterima oleh MIC dalam BN ketika ini.
Beliau mendakwa, kepimpinan BN gagal membela parti-parti komponen seperti MIC dan keadaan itu tidak seperti PH yang berusaha menjaga kepentingan parti komponen di bawahnya seperti PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.-UTUSAN










