Kertas Putih Kesihatan lonjak reformasi kesihatan negara - Utusan Malaysia

Kertas Putih Kesihatan lonjak reformasi kesihatan negara

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga dari kanan) bersama Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Zaliha Mustafa (kiri) pada Karnival Kesihatan Sihat Milik Semua Peringkat Jabatan Kesihatan negeri Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Ke-80 Raja Perlis di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kertas Putih Kesihatan yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini bakal melonjakkan reformasi kesihatan negara khususnya dalam mempertingkatkan promosi kesihatan dan pencegahan penyakit.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, antara strategi utama dalam Kertas putih ini adalah memperkukuhkan fungsi kesihatan awam, menambah baik kerjasama dan penyelarasan inter sektor untuk kesihatan.

Selain itu, katanya, ia juga memberi insentif kepada amalan dan tingkah laku pro-kesihatan.

“Tonggak reformasi ini merangkumi penambahbaikan sistemik dan struktural, yang bertujuan mengorientasikan semula ekosistem kesihatan supaya promosi kesihatan dan pencegahan penyakit dapat diintegrasikan secara asasnya dalam semua dasar, garis panduan, amalan dan kehidupan harian.

“Reformasi berkenaan juga merangkumi pelbagai penambahbaikan sistemik dan struktural yang bertujuan mengorientasikan semula ekosistem kesihatan dan lain-lain,” katanya ketika berucap pada Karnival
Kesihatan Sihat Milik Semua Peringkat Jabatan Kesihatan negeri Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Ke-80 Raja Perlis di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini hari ini.

Karnival tersebut disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang dihadiri Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama, Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan; Pengerusi Kesihatan negeri, Megat Hashirat Hassan dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Ismuni Bohari.

Dalam majlis tersebut, Zaliha turut mengumumkan bahawa 2023 adalah tahun bermulanya fasa kedua Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) selepas fasa pertama berlangsung dari 2020 hingga tahun lalu.

Mengulas mengenai ANMS, Zaliha berkata, program itu akan memfokuskan kepada perancangan, libat urus dengan rakan strategik, pembentukan pelan strategik dan penyediaan kertas dasar yang berkaitan.

“Melalui fasa kedua ini, ia diperkemaskan dengan beberapa hala tuju dan inisiatif yang merangkumi dasar, polisi dan implikasi kewangan untuk jangka masa panjang bagi mencapai matlamat utama iaitu menjadikan rakyat Malaysia sihat sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong hidup sihat.

“Selain penganjuran karnival kesihatan seperti hari ini, Kementerian Kesihatan sentiasa berusaha mencari idea dan pendekatan baharu bagi membantu rakyat mencapai dan mengekalkan tahap kesihatan yang sihat menerusi mesej promosi dan pendidikan kesihatan.

“Untuk mencapai hasrat itu, pelbagai kempen dilaksanakan bawah Teras 1 ANMS iaitu ‘Memantapkan Promosi Pembudayaan Hidup Sihat’ menggunakan pelbagai pendekatan dan kaedah media seperti media sosial, media konvensional, media cetak dan digital,” katanya.

Katanya lagi, beliau mengambil contoh di mana Jabatan Kesihatan negeri dilihat aktif menggunakan facebook sebagai wadah menyampaikan mesej kesihatan buat rakyat negeri ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya