Kementerian Pendidikan tidak keluarkan ranking sekolah

Kementerian Pendidikan tidak keluarkan ranking sekolah terbaik SPM 2022

FADHLINA Sidek (tengah) bergambar bersama pelajar berstatus anak yatim pada Majlis Jerayawara Pendidikan Madani Peringkat Negeri Kedah di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kementerian Pendidikan tidak mengeluarkan sebarang ranking sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) sekolah terbaik berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan, kelmarin.

 Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, setiap keputusan berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) itu juga bukan dipertandingkan sebaliknya sebagai sokongan ke arah peningkatan prestasi sekolah berkenaan pada masa hadapan.

 “Daripada sudut Kementerian Pendidikan itu bukan satu KPI sebab kita tak pernah sebut atau keluarkan ranking ini. Siapa yang buat ranking itu pun di luar pengetahuan kita. Sebenarnya tidak ada apa-apa secara rasmi tentang ranking tersebut.

“Apa yang diunjurkan melalui GPS sekolah itu adalah untuk sekolah itu sendiri di peringkat daerah dan negeri.  Ia bukan untuk dipertandingkan kerana ia adalah untuk melihat usaha yang akan dilaksanakan pada tahun mendatang. 

“Jadi tidak timbul soal ranking dan kita tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan mahupun pengesahan tentang ranking tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Jerayawara Pendidikan Madani Peringkat Negeri Kedah, di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang penularan senarai ranking sekolah terbaik SPM 2022 susulan pengumuman keputusan peperiksaan awam itu sejak kelmarin berdasarkan GPS sekolah-sekolah di seluruh negara.

Sehubungan itu, kata Fadhlina, Kementerian Pendidikan menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa supaya tidak terpengaruh dengan ranking tersebut yang disifatkan boleh berubah pada masa akan datang. 

“Saya fikir kita tumpukan kepada (prestasi) anak-anak kita. Jangan terpengaruh dengan ranking kerana akan berubah.

“Kita lihat kemajuan anak-anak kita sendiri melalui pendekatan pengukuhan ekosistem penglibatan ibu bapa, PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru), PIBKS (Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta) untuk anak-anak cemerlang,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pendidikan sentiasa memantau dan memberi bimbingan kepada lepasan SPM berkaitan hala tuju masing-masing termasuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Melalui ceramah, alumni sekolah yang dilaksanakan. Jadi tidak timbul soal kita tak beri hala tuju dari peringkat awal,” katanya.- utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya