Kelantan, Sabah setuju kerjasama tangani isu air - PM

Kelantan, Sabah setuju kerjasama tangani isu air – PM

ANWAR Ibrahim menyerahkan replika penyerahan kunci kepada penerima majlis penyerahan kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Dalur Madani di Presint 18, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Negeri Kelantan dan Sabah setuju bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha menyelesaikan isu bekalan air di dua negeri itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dicapai menerusi mesyuarat khas bersama Menteri Besar Kelantan dan Ketua Menteri Sabah hari ini dengan menetapkan beberapa tindakan segera bagi menyelesaikan isu mendesak itu dengan peruntukan dana disediakan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Kelantan mengemukakan permohonan dana sebanyak RM8 bilion untuk pelaksanaan beberapa projek bekalan air bersih, namun beliau belum memutuskan persetujuan sebelum ia dibincangkan terlebih dahulu menerusi pasukan petugas khas.

Kata beliau, pasukan tersebut akan meneliti terlebih dahulu dengan tepat apa keperluan dan syarat-syarat yang perlu dipatuhi seperti aspek pengurusan dan ketelusan dalam pelaksanaan projek berkenaan.

“Apa yang penting, (keputusan) daripada apa-apa pertimbangan lain adalah tanggungjawab kita memastikan rakyat memperoleh kemudahan air bersih dengan segera,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia Madani Dalur, di sini hari ini.

Anwar berkata, masalah bekalan air di Kelantan adalah lebih serius berbanding di Sabah apatah lagi keperluan kewangan sangat tinggi bagi pelaksanaan projek penyelesaian masalah berkaitan.

Dalam hal itu, beliau meminta Kerajaan Negeri Kelantan untuk memastikan aspek pengurusan lebih telus dan efisyen dan mereka mesti bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan sekali gus menerima segala keputusan secara bersama.

“Kerajaan Negeri tidak boleh lagi bekerja secara silo kerana memerlukan dana yang tinggi, jadi mereka perlu memastikan penyaluran bekalan air bersih benar-benar sampai kepada rakyat.

“Dana sebanyak RM8 bilion yang dimohon Kerajaan Negeri Kelantan saya belum bersetuju dan perlu melihat kepada beberapa peringkat keperluan utama.

“(Kelantan) tidak ada bekalan rizab air, tetapi mereka memohon 100 peratus keperluan itu, namun kita lihat tiada keperluan sebanyak itu,” katanya. 

Pada masa sama, Perdana Menteri memberikan tempoh masa seminggu kepada pasukan petugas khas itu untuk mengemukakan strategi segera bagi menyelesaikan isu itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya