Judi: Kerajaan negeri atur program, kempen didik masyarakat

Judi: Kerajaan negeri atur program, kempen didik masyarakat

MOHD. SHUKRI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri akan mengatur pelbagai program dan kempen bagi mendidik masyarakat berkaitan kesan atau bahaya akibat judi dalam kehidupan masyarakat.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, kerajaan negeri menyedari bahawa sebarang aktiviti yang boleh menimbulkan permasalahan dalam kalangan rakyat perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh setiap pihak.

Katanya, segala bentuk jenayah dan maksiat adalah wajib dibanteras dalam usaha melahirkan masyarakat aman, damai dan harmoni.

“Ini juga adalah selari dengan tuntutan agama yang menganjurkan umatnya supaya berkelakuan baik dan menghindari segala perbuatan merosakkan diri,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri telah melakukan pemerhatian dan kajian berhubung pemberhentian lesen judi di negeri ini malah perkara itu turut dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).

“Mesyuarat MMK bersetuju agar Majlis Perbandaran Kangar (MPK) tidak memperbaharui semua lesen premis perjudian dan loteri di Perlis selepas tamat tempoh.

“Malah tiada lagi lesen baharu yang akan diluluskan oleh MPK selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, fokus kerajaan negeri pada masa ini adalah meneliti semula semua pelaburan yang dibawa masuk ke Perlis bagi memberi manfaat dan peluang pekerjaan khususnya kepada anak muda.

Tambahnya, aspek keseimbangan dalam pembangunan fizikal, rohani, jati diri dan institusi kekeluargaan juga amat dititik beratkan oleh kerajaan negeri.

“Pendekatan secara holistik diatur bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri dalam membangunkan modal insan terbaik buat kalangan masyarakat khususnya di Perlis,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN