Jika Pulau Pinang boleh dituntut, akan ada tuntutan wilayah lain pula - Pensyarah USM - Utusan Malaysia

Jika Pulau Pinang boleh dituntut, akan ada tuntutan wilayah lain pula – Pensyarah USM

NAZARUDIN ZAINUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Isu tuntutan negeri seperti Kedah ke atas Pulau Pinang tidak sepatutnya dibangkitkan lagi kerana sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang merupakan asas pembentukan negara tertinggi.

Malah, ujar Pensyarah Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Nazarudin Zainun, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 juga menyatakan dengan jelas negara ini mempunyai 11 buah negeri termasuk Pulau Pinang.

”Seharusnya tidak ada lagi yang boleh menuntut kerana dari segi undang undang Perlembagaan Persekutuan adalah tertinggi, kecuali jika dibuat pindaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dilaporkan bersedia untuk ke mahkamah berhubung dakwaan Pulau Pinang adalah milik Kedah.

Menurutnya, beliau juga bersedia disiasat polis berhubung dakwaan itu kerana mendakwa pihaknya mempunyai banyak ‘sandaran’ mengenai perkara tersebut.

Mengulas lanjut, Nazarudin berkata, jika tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang dibenarkan, maka akan wujud tuntutan-tuntutan lain pula.

”Sebagai contoh Melaka mungkin boleh menuntut Muar dan Naning, Besut mungkin boleh jadi wilayah Kelantan, malah mungkin juga boleh berkembang kepada tuntutan antarabangsa seperti ke atas Singapura atau Riau.

”Malah, Kedah juga boleh meneroka untuk menuntut Manjung dan Krian di Perak, Perlis, Pantai Barat Semenanjung Thailand hingga ke Mergui, Tavoy dan Tennasserim di Myanmar,” katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan hubungan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kedah akan menjadi tegang sekiranya Muhammad Sanusi berterusan mengeluarkan kenyataan menuntut Pulau Pinang.

Dalam masa sama, beliau melihat isu itu tidak lebih sebahagian daripada bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung dalam masa terdekat ini.

”Selepas PRN selesai, isu ini akan sejuk sehingga muncul pula isu lain, melalui isu-isu sebegini tentunya mereka (pemimpin politik) berharap rakyat melihat mereka sebagai juara membela kepentingan rakyat.

”Mereka berharap ia akan diterjemahkan dalam peti undi semasa PRN nanti.Jadi isu-isu begini adalah cubaan untuk menarik sokongan masyarakat.

”Jadi isu ini digunakan sebagai testimoni sama ada mereka masih mendapat sokongan atau tidak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya