Jemaah bersedia hadapi Masyair

Jemaah bersedia hadapi Masyair

Cuaca panas mencecah 50 darjah Celsius memberi cabaran kepada jemaah di tanah suci terutama ketika operasi Masyair pada 27 Jun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH – Rata-rata jemaah haji mempunyai tahap kesedaran yang tinggi apabila mula menjaga kesihatan masing-masing ketika hari wukuf semakin hampir.

Difahamkan, cuaca ketika ini berada pada 47 darjah Celsius dan dijangka meningkat kepada 50 darjah Celsius menjelang operasi Masyair (kemuncak haji)

Bagi pasangan muda berusia 29 tahun, Wan Mohamad Ali Wan Idrus dan Nur Amalina Muhamad, mereka mengambil berat tentang isu kesihatan dengan tidak keluar ke mana-mana termasuk ke Masjidilharam mulai minggu ini.

Menurut Wan Mohamad, dia juga ada ke klinik selepas demam pada minggu lalu.

“Pasukan perubatan Tabung Haji juga kerap membuat lawatan bilik ke bilik menjelang hari wukuf bertanya mengenai keada­an jemaah. Kalau ada yang tak sihat, mereka suruh pergi jumpa doktor.

“Jemaah dinasihatkan minum lapan botol air zamzam sehari yang dibekalkan oleh TH. kalau tak cukup, di setiap tingkat ada disediakan air biasa juga,” kata jurutera itu ketika ditemui di sini semalam.

Bagi Nur Amalina pula, TH juga akan mengadakan taklimat dan kursus mini bagi menghadapi Masyair selepas solat Maghrib di surau maktab.

“Kami juga ada membuat ulangkaji menerusi aplikasi THhujjaj kerana di dalam itu ada disediakan pelbagai soalan dan jawapan,” kata doktor gigi ini.

Pasangan yang menetap di Cyberjaya itu turut mendaftarkan diri sebagai sahabat maktab.

Warga emas, Setak Yeop Musa, 66, pula mengambil makanan seimbang dan tidur yang cukup bagi merehatkan badannya untuk berwukuf.

Katanya, dia juga jarang ke Masjidilharam dan hanya pergi pada waktu subuh kerana tidak tahan panas.

“Kita dah jaga semuanya dan selebihnya diserahkan kepada Allah. Saya cadang ikut jemaah dan ustaz saja nanti.

“Memang ada pergi kursus dan pengetahun sedikit, tetapi lebih elok kalau ada yang membimbing supaya kita tak terlupa dan tersalah,” katanya yang berasal dari Kampung Gajah, Perak.

Setak Yeop yang menunaikan haji bersama isterinya, Zalwi Aala, 57, memberitahu, perbelanjaan ke tanah suci ditampung oleh tujuh anak yang bekerja sebagai doktor, jurutera, pegawai polis dan ahli perniagaan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN