BN hilang percaya kepada Aminuddin

BN hilang percaya kepada Aminuddin

ADUN BN Negeri Sembilan pada sidang akhbar di Wisma UMNO Negeri Sembilan di Seremban, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan sudah hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ami­nuddin Harun yang dijadikan alasan menarik sokongan kepada kerajaan negeri.

Pengumuman itu dibuat pada sidang akhbar khas di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini semalam.
Ia dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias serta 12 daripada 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN lain yang kesemua­nya daripada UMNO.

ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak hadir kerana berada di Brunei atas urusan kerja.
Namun, beliau dilaporkan turut menyokong pengisytiharan tersebut.

“Kesemua 14 ADUN UMNO BN Negeri Sembilan sebulat suara hilang kepercayaan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan,” katanya.

Jalaluddin berkata, UMNO dan BN Negeri Sembilan sangat kecewa dengan krisis yang berlaku di negeri ini.

Menurutnya, sebagai sebuah parti yang sangat menghormati institusi adat dan Perlembagaan, BN mengambil pendirian untuk tidak mencampuri urusan tersebut.

“Exco kerajaan negeri daripada UMNO BN tidak pernah dimaklumkan dalam sebarang perbincangan di peringkat kerajaan negeri dan hanya mengetahui krisis ini apabila keadaan sudah berada pada tahap kritikal sehingga menjadi perdebatan umum.

“Menteri Besar sewajarnya memainkan peranan dan menggunakan kebijaksanaan beliau sebagai Menteri Besar dalam krisis ini.

“Krisis yang berlaku ini dilihat bakal menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri dan secara tidak langsung memberi kesan mendalam kepada kestabilan kerajaan serta keharmonian rakyat,” katanya.

Jalaluddin dalam pada itu berkata, kesemua ADUN dari BN dan UMNO di negeri ini juga mendukung penuh serta mempertahankan institusi adat dan Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Katanya, kerajaan yang stabil juga perlu dibentuk supaya dapat memainkan pera­nan sebaik mungkin dalam pentadbiran negeri sekali gus dapat memberikan fokus mensejahterakan rakyat dan ekonomi negeri.

BN mempunyai sebanyak 14 kerusi daripada 36 kerusi di DUN Negeri Sembilan.

Pakatan Harapan (PH) pula mempunyai 17 kerusi manakala baki lima kerusi milik Perikatan Nasional (PN).-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN