MB baharu, bubar DUN penyelesaian kemelut

MB baharu, bubar DUN penyelesaian kemelut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelantikan Men­­teri Besar baharu atau bubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Itu dua pilihan menurut pakar perlembagaan yang boleh menyelesaikan kemelut politik yang melanda Negeri Sembilan susulan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Pengasas Jurisprudens Watan dan Profesor Madya ISTAC-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, perkara itu tertakluk di bawah Perkara 38(4) dan 40(2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).

Katanya, Menteri Besar perlu menghadap raja pemerintah Negeri Sembilan yang terdiri daripada Yang di-Pertuan Besar serta pembesar memerintah iaitu Undang Luak dan Tunku Besar Tampin.

“Dalam situasi ini, Menteri Besar boleh memilih sama ada meletakkan jawatan atau memohon supaya DUN dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Namun, Yang di-Pertuan Besar dengan persetujuan majoriti Undang Luak boleh menolak permintaan tersebut. Jika ia berlaku, Menteri Besar bersama barisan Exco hendaklah mele­takkan jawatan untuk memboleh­kan raja pemerintah melantik Menteri Besar baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, kesemua 14 ADUN BN Negeri Sembilan sebulat suara menarik sokongan serta menyatakan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sekali gus mencetuskan krisis politik di negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubu­ngan UMNO Negeri Sembila, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan itu dibuat susulan krisis membabitkan institusi adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan yang sewajarnya dihormati dan dipertahankan tanpa campur tangan politik.

Pada Pilihan Raya Negeri 2023, Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan yang dipimpin Aminuddin memperoleh majoriti di Dewan Undangan Negeri.

Daripada 36 kerusi DUN, Pakatan Harapan (PH) menguasai 17 kerusi manakala BN memiliki 14 kerusi.
Blok pembangkang pula memperoleh lima kerusi iaitu di DUN Labu, Gemas, Paroi, Ser­ting dan Bagan Pinang.

Wan Ahmad Fauzi yang juga pakar perlembagaan berkata, raja pemerintah boleh melantik mana-mana ADUN yang pada hemat berkemungkinan mendapat sokongan majoriti.

“Sistem pelantikan Menteri Besar di Negeri Sembilan berbeza berbanding negeri lain ke­rana keputusan itu tidak dibuat oleh Yang di-Pertuan Besar secara bersendirian.

“Yang melantik ialah raja pemerintah Negeri Sembilan. Dalam urusan ini, majoriti Undang Luak perlu menzahirkan persetujuan,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, situasi ketika ini bergantung kepada rundingan antara parti-parti terlibat.

Katanya, tindakan pemim­pin BN yang bertindak keluar daripada kerajaan dilihat berkemungkinan mempunyai perancangan untuk menerajui kerajaan negeri termasuk kemungkinan sudah ada calon Menteri Besar.

“Cuma persoalannya sama ada BN mahu membentuk kerajaan bersama PN atau meneruskan kerjasama dengan PH. Ia bergantung kepada tawaran dan bentuk kerjasama yang dipersetujui,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN