KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu menubuhkan jawatankuasa khas bagi merangka hala tuju jangka masa panjang Tasik Kenyir di Hulu Terengganu dekat sini sebagai destinasi ekopelancongan utama negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, penubuhan jawatankuasa itu bagi memastikan pembangunan Tasik Kenyir lebih tersusun dan mampan.
“Jawatankuasa ini berperanan memantau pelaksanaan projek, mengenal pasti potensi pembangunan baharu dan memastikan setiap perancangan dilaksanakan berteraskan kelestarian alam sekitar,” katanya di sini.
Menurut beliau, kerajaan negeri akan terus memperkasa Tasik Kenyir dengan melaksanakan pelbagai penambahbaikan infrastruktur secara berperingkat di beberapa lokasi tumpuan pelancong termasuk Santuari Kelah, Taman Herba dan Gua Bewah.
Beliau berkata, langkah itu diambil bagi memastikan produk pelancongan di kawasan berkenaan kekal kompetitif, selamat dan mampu menarik lebih ramai pengunjung domestik serta antarabangsa.
Kata beliau, kerjasama erat turut dijalin dengan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dalam menyelaras pembangunan di kawasan Tasik Kenyir, merangkumi pelaksanaan projek fizikal, pengurusan dana serta program keusahawanan.
“Usaha berkenaan bertujuan memastikan komuniti setempat turut menerima limpahan manfaat ekonomi secara langsung daripada sektor pelancongan yang semakin berkembang pesat.
“Langkah strategik itu juga dilihat mampu mengangkat keunikan elemen geologi serta khazanah alam semula jadi Tasik Kenyir sebagai tarikan utama pelancong, selain membuka ruang kepada negeri untuk memperoleh peruntukkan pembangunan lebih besar daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Sementara itu, Razali berkata, pelbagai acara sukan air dan festival bertaraf nasional serta antarabangsa dianjurkan bagi merancakkan industri pelancongan di Tasik Kenyir.
Antaranya, pertandingan memancing Kenyir Cup dan karnival sukan air yang bukan sahaja memeriahkan kawasan tasik malah menjadi daya tarikan utama dalam menarik kehadiran pelancong dalam jumlah besar.-UTUSAN.










