Jambatan pemangkin ekonomi Bagan Datuk – Ahmad Zahid

Jambatan pemangkin ekonomi Bagan Datuk – Ahmad Zahid

JAMBATAN Bagan Datuk-Sejagop yang menghubungkan daerah Bagan Datuk dengan tiga daerah di Perak dan WCE ketika tinjauan baru-baru ini. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi gembira dan teruja kerana Jambatan Bagan Datuk-Sejagop di sini yang diilhamkan oleh beliau dengan maj­lis pecah tanahnya dilakukan pa­da tahun 2017, kini dibuka kepada pengguna.

Menurutnya, walaupun terdapat pelbagai kekangan termasuklah cabaran pandemik Covid-19, jambatan itu kini sudah sedia untuk kegunaan serta manfaat kepada lebih 70,000 pengguna jalan raya, khususnya untuk penduduk Bagan Datuk.

“Jambatan ini akan menjadi pemangkin ekonomi Bagan Datuk, merintis peluang yang lebih luas untuk dinikmati penduduk daerah ini.

“Impian saya mahu melihat Bagan Datuk terus membangun, menjadi maju seperti daerah-daerah lain.

“Walaupun mercu tanda baharu hanya jarak 1.5 kilometer menyambungkan dua parlimen, tetapi impaknya, aksesibiliti, mobiliti dan rangkaiannya nanti akan memberi multiplier-effect kepada penduduk Bagan Datuk.

“Inilah amanah dan tanggungjawab yang diterjemahkan untuk kelebihan seluruh rakyat Bagan Datuk,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri seterus­nya berharap dengan terbinanya jambatan itu, lebih banyak peluang pekerjaan dapat disediakan.

“Saya juga berharap lebih ba­nyak industri dapat dibina untuk terus melonjakkan ekonomi dan kesejahteraan penduduk daerah ini,” katanya.

Jambatan Bagan Datuk-Seja­gop yang menghubungkan daerah Bagan Datuk dengan tiga daerah di Perak dan Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang dibuka kepada pengguna mulai semalam, dilancarkan hari ini.

Penyiapan jambatan bernilai RM460 juta itu dijangka mampu memberi impak besar terhadap pembangunan di daerah Bagan Datuk dalam jangka panjang khususnya dalam usaha menarik pelaburan.

Jambatan itu memberi kemudahan kepada akses laluan pe­ngangkutan utama dengan masa lebih singkat seperti ke Lembah Klang dan Pelabuhan Lumut, selain menghubungkan Bagan Datuk dengan daerah Manjung, Perak Tengah dan Hilir Perak.

Apabila WCE siap sepenuhnya nanti, perjalanan dari Lembah Klang ke Bagan Datuk hanya mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit berbanding hampir tiga jam sekarang.

Projek pembinaan jambatan tersebut sepanjang 10.5 kilome­ter dengan 1.54 km adalah panjang jambatan merentasi Sungai Perak, mula dibina pada 2016.

Jambatan itu sepatutnya siap dibina pada Oktober 2020 mengikut jadual asal tetapi tertangguh disebabkan beberapa faktor seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19, kenaikan kos bahan binaan serta faktor iklim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN