Jambatan Bagan Datuk tarik pelaburan automotif, perkapalan antarabangsa - Utusan Malaysia

Jambatan Bagan Datuk tarik pelaburan automotif, perkapalan antarabangsa

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) meninjau Jambatan Bagan Datuk -Kampung Sejagop pada majlis pelancaran laluan itu di Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Pembinaan Jambatan Bagan Datuk-Sejagop di sini yang menghubungkan daerah ini dengan tiga daerah lain dan Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menarik pelaburan syarikat besar dalam bidang industri automotif dan perkapalan antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini tiga syarikat sudah menyatakan minat untuk melabur di sini iaitu sebuah syarikat tempatan yang terlibat dalam pembuatan kenderaan berat, iaitu pembuat kenderaan penumpang dan perdagangan ringan yang akan membuka kilangnya di sini.

Menurutnya, selain itu sebuah syarikat pembuat bateri dan kenderaan elektrik (EV) dari China juga berminat untuk melabur di sini dan rundingan untuk pembelian tanah ladang bagi pembinaan kilang telah dimulakan.

Beliau berkata, pelaburan oleh syarikat dari China itu bakal mewujudkan tidak kurang 7,500 pekerjaan baharu.

“Disamping itu, sebuah dokckyard untuk pembaikan kapal serta pembuatan kapal dari Turkiye telah berjumpa dengan saya dan mereka akan melabur di Bagan Datuk bagi menampung keperluan pembaikan kira-kira 70,000 kapal perdagangan yang melalui Selat Melaka.

“Kini pembaikan kapal dilakukan di Singapura namun oleh kerana bebanan permintaan dockyard dan pembaikan kapal di Singapura tidak dapat menampung permintaan maka saya telah mengadakan rundingan dengan syarikat pembaikan kapal dari Turkiye itu untuk membina pelabuhan pembaikan kapal di Bagan Datuk.

“Jika siap kelak, ia akan membuka peluang 2,500 pekerjaan. Bagi persiapan tenaga pekerjanya, dengan pembinaan dan penyiapan Politeknik Bagan Datuk menumpukan kepada tiga bidang iaitu kejuruteraan kelautan, seni bina perkapalan dan kimpalan pembaikan badan kapal.

“Pelaburan-pelaburan ini semata-mata kerana pembinaan jambatan baru ke Bagan Datuk. Ketiga-tiga pelaburan ini telah saya mulakan perbincangan dan saya akan melakukan tindakan susulan. Apabila ketiga-tiga pelaburan ini dapat dilakukan, ini akan memberi 10,000 peluang pekerjaan sebelum tahun 2027,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Pelancaran Bas Ekspres Maraliner dan Majlis Pelancaran Laluan Bagan Datuk–Kampung Sejagop di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, ketiga-tiga syarikat pelabur itu telah menghantar surat tunjuk minat kepada beliau untuk kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Saya akan lakukan kordinasi malah Mara sendiri umpanya menjadikan Giat Mara di Hutan Melintang yang berada dalam Daerah Bagan Datuk untuk diubah kepada Giat Mara yang menjadi penyumbang bagi tenaga mahir TVET,” katanya.

Mengenai jambatan bernilai RM460 juta sepanjang 10.5 kilometer dengan 1.54 km adalah panjang jambatan merentasi Sungai Perak yang mula dibuka kepada kenderaan sejak semalam, Ahmad Zahid berkata, pembinaan jambatan ini memendekkan perjalanan dari Bagan Datuk dan sebaliknya ke tahap 15 minit berbanding kira-kira sejam atau satu jam 15 minit jika menggunakan laluan sebelum ini.

Menurutnya, pembinaan jambatan itu bakal memberi impak pembangunan bukan sahaja di Bagan Datuk tetapi juga Pasir Salak, Teluk Intan dan Sabak Bernam di Selangor.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kerja Raya dan Mara kerana aktif menggunakan prasarana baru ini untuk pembangunan bukan hanya untuk 70,000 pengguna di Dagan Datuk tapi meliputi tidak kurang 200,000 pengguna daripada empat daerah,” katanya.

“Ia adalah satu permulaan yang baik dan saya mahu semua pihak mengetepikan perbezaan demi membina keyakinan baharu dalam kalangan rakyat.

“Pembangunan bukan hanya tertumpu di Bagan Datuk tapi juga di kawasan sekitarnya kerana saya bukan timbalan perdana menteri Bagan Datuk tetapi timbalan perdana menteri untuk seluruh rakyat, maka peluang-peluang ini untuk rakyat keseluruhannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya