Isu kerohanian elemen penting ditangani

Isu kerohanian elemen penting ditangani TH

Petugas menunjukkan mesin ujian darah yang digunakan Pusat Perubatan Syisyah, Mekah baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Isu kesihatan kerohanian menjadi salah satu perubatan penting yang disediakan Tabung Haji (TH) bagi menangani masalah yang berlaku dalam kalangan jemaah haji.

Pegawai Perubatan Spiritual, Dr. Ahmad Fahmi Md. Sahray berkata, ada kes di mana pesakit menghadapi masalah tidak dapat tidur dan menangis sepanjang malam kerana mempersoalkan qada dan qadar atas kehilangan berturut-turut orang disayangi.

“Pesakit mempersoalkan me­ngapa Tuhan mengambil orang yang dia sayang sedangkan dia banyak melakukan ibadat.

“Kes sebegini tidak boleh sele­sai dengan makan ubat tetapi perlu dirawat melalui ketentera­man dalamannya. Selepas kita teroka persoalan itu, pesakit dapat melaluinya dan kembali normal.

“Ada juga kes pesakit enggan memakan ubat kerana bimbang kesan ubat berkenaan membuatkan solatnya tidak khusyuk. Ia perlu dijelaskan dengan mendalam supaya dia dapat kembali dan menerima kenyata­an itu,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Syisyah di sini.

Menurut Dr. Ahmad Fahmi, perubatan spiritual menekankan rawatan kaunseling dan juga keberadaan bersama pesakit dengan penuh belas ihsan bagi memahami dan membantu mereka mengatasi permasalahan yang timbul.

“Rata-rata pesakit yang masuk dalam wad ada komponen yang memberikan tekanan dan kegusaran kepada mereka, perubatan spiritual dapat mengatasi kegusaran itu dan menambah kekuatan spiritual untuk beribadat,” katanya

Menurutnya, perubatan spi­ritual adalah pelengkap kepada perkhidmatan kesihatan dan telah diamalkan di negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, Pegawai Operasi Mekah (Perubatan), Dr. Amin Sah Ahmad berkata, pasukan perubatan membawa bekalan ubat dan peralatan pemeriksaan kesihatan berkualiti tinggi bagi memastikan jemaah mendapat ra­watan yang terbaik di Tanah Suci.

Selain itu katanya, jemaah juga tidak perlu mengeluarkan wang jika mendapatkan rawatan kerana segalanya percuma sepanjang musim haji.

“Kita juga mempunyai kelengkapan canggih seperti X-ray dan ultrasound selain wad yang lengkap termasuk unit rawatan rapi untuk pesakit yang memerlukan rawatan lanjut.

“Pusat perubatan Mekah mempunyai 193 katil dan satu bilik isolasi. Jika keadaan ter­desak, pesakit akan dipindahkan ke hospital Arab Saudi,” katanya.

Menurut Amin Sah, pusat perubatan yang mempunyai 296 petugas dan 12 pakar itu telah beroperasi sejak 26 Mei lalu serta menerima permit secara rasmi kelmarin.-utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya