Semua aliran sekolah wajib lulus Bahasa Melayu, Sejarah diteliti

Semua aliran sekolah wajib lulus Bahasa Melayu, Sejarah diteliti

ZAMBRY Abdul Kadir (empat dari kiri) berswafoto bersama pelajar semasa melakukan lawatan kerja ke Unimap di Pauh Putra, Arau, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pelaksanaan syarat wajib lulus Bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal melibatkan semua sekolah termasuk institusi pendidikan yang tidak menggunakan kurikulum kebangsaan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, bagaimanapun pihak kementerian masih meneliti perkara itu dan dalam proses perbincangan secara menyeluruh bersama pihak berkaitan.

“Ini termasuklah melibatkan sekolah antarabangsa, sekolah agama, aliran Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sekolah aliran arab dan kursus-kursus lain. Jadi ini semua akan diambil kira.

“Kerajaan akan pastikan supaya mesti ada penyelesaian menyeluruh dan tidak melibatkan hanya satu aliran sahaja, kita tak nak ambil pendekatan ad-hoc,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di Pauh Putra, di sini, semalam.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan semua sekolah pelbagai aliran pendidikan termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama serta sekolah dalam aliran UEC diwajibkan untuk lulus subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM sebagai syarat kemasukan ke Universiti Awam (UA).

Syarat sama turut terpakai kepada sekolah agama rakyat dan Maahad Tahfiz yang melibatkan lebih 400,000 pelajar, selain aliran UEC bagi meredakan kontroversi berkaitan isu Bahasa Melayu selain memastikan syarat kemasukan ke UA tidak lagi menjadi polemik selepas ini.

Dalam pada itu, Zambry berkata, proses perbincangan tersebut juga belum dimuktamadkan sepenuhnya dan pihaknya akan cuba menyegerakan perkara berkenaan.

“Tapi apa pun proses-proses teknikal masih lagi berterusan jadi kita cubalah untuk muktamadkan secepat mungkin.

“Dalam masa sama, kita juga mengambil pendekatan untuk mengutamakan semua permasalahan rakyat termasuk melibatkan sistem pendidikan sedia ada di negara ini,” katanya. – UTUSAN

ZAMBRY Abdul Kadir (empat dari kiri) berswafoto bersama pelajar semasa melakukan lawatan kerja ke Unimap di Pauh Putra, Arau, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN